Suraya Roslan


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan satu kaedah baharu bagi pemilihan pelajar ke Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat ke sekolah khusus dinamakan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

PKSK diwujudkan sebaik pembatalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional (KV) serta Maktab Tentera Diraja.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata, PKSK adalah satu kaedah pentaksiran standard secara berpusat bagi kemasukan ke Tingkatan Satu dan Empat ke sekolah khusus bagi 2021 secara dalam talian menggunakan kaedah single entry point.

"Single entry point bermaksud satu sistem permohonan menggunakan platform berpusat secara dalam talian bagi kemasukan ke sekolah khusus menggunakan padanan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).

"Semua pelajar didaftarkan dalam APDM KPM layak memohon dan menduduki PKSK.

"Kita jangkakan 400,000 pelajar akan memohon iaitu 200,000 untuk Tingkatan Satu dan selebihnya Tingkatan Empat," katanya dalam sidang media khas di KPM, hari ini.

Beliau berkata, PKSK bukan sistem bagi menggantikan UPSR atau PT3 tetapi hanya kaedah untuk menilai penguasaan pelajar secara keseluruhan dan tidak memberi tumpuan kepada prestasi akademik semata-mata.

"PKSK terbahagi kepada tiga komponen iaitu bahagian A untuk kecerdasan insaniah (kecerdasan emosi, rohani dan insaniah) dengan wajaran skor 20 peratus.

"Bagi bahagian B membabitkan kecerdasan intelek iaitu menguji kecerdasan intelek, pengetahuan am dan penyelesaian masalah dengan wajaran skor 70 peratus.

"Untuk dua bahagian ini diperuntukkan masa 90 minit dan terdapat 10 soalan Bahasa Inggeris," katanya.

Dr Habibah berkata, apa yang menarik dalam PKSK adalah KPM memperkenalkan artikulasi penulisan iaitu penulisan esei 100 patah perkataan bagi Tingkatan Satu manakala 250 patah perkataan untuk Tingkatan Empat.

DATUK Dr Habibah Abdul Rahim ketika membentangkan Pentaksiran Baharu ke Sekolah Khusus Tahun 2021 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATUK Dr Habibah Abdul Rahim ketika membentangkan Pentaksiran Baharu ke Sekolah Khusus Tahun 2021 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

"Untuk penulisan ini diperuntukkan masa 45 minit dalam Bahasa Melayu.

"Semua pelajar layak memohon PKSK melalui pautan https://spskt1.moe.gov.my (tingkatan satu) dan https://spskt4.moe.gov.my (tingkatan empat)," katanya.

Menurutnya, PKSK akan dijalankan secara serentak di semua 555 pusat dikenal pasti seluruh negara pada 12 hingga 23 Oktober depan bagi Tingkatan Satu dan 26 Oktober hingga 6 November depan bagi Tingkatan Empat.

"Keputusan PKSK tidak akan diumumkan dan pelajar boleh memeriksa keputusan permohonan kemasukan ke sekolah khusus bagi Tingkatan Satu pada 15 Januari 2021 dan Tingkatan Empat pada 5 Februari 2021.

"Hanya satu tempat sahaja akan ditawarkan bagi setiap calon dan PKSK hanya boleh dilaksanakan di pusat PKSK ditetapkan serta tidak boleh dilaksanakan di rumah," katanya.

Katanya, semua calon yang membuat permohonan perlu membuat semakan menduduki PKSK di laman sesawang KPM pada 7 hingga 23 Oktober depan bagi Tingkatan Satu manakala 12 Oktober hingga 6 November bagi Tingkatan Empat.

"Calon juga perlu mencetak slip pendaftaran PKSK, membawa kad pengenalan, peralatan tulis dan memakai pakaian seragam sekolah ketika menduduki PKSK.

"Selain itu, pelajar perlu memastikan diri sihat, tidak bergejala Covid-19, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal," katanya.

Ditanya adakah kemungkinan berlaku kebocoran soalan, Dr Habibah berkata, kemungkinan itu tidak akan berlaku berikutan ia dilakukan secara dalam talian.

"Soalan tidak boleh bocor sebab bukan atas satu kertas, kalau duduk sebelah saya pun soalan tidak akan sama.

"Kebarangkalian nisbahnya adalah satu bersamaan 400,000 antara satu calon dengan calon lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 7:12 PM