DATUK Abdul Aziz Abdul Majid menunjukkan dadah yang dirampas ketika sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Kajang. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
DATUK Abdul Aziz Abdul Majid menunjukkan dadah yang dirampas ketika sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Kajang. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Guna perkhidmatan syarikat kurier di Singapura untuk hantar bungkusan dadah ke negara Eropah.

Itu helah digunakan satu sindiket penyeludupan dadah untuk pasaran antarabangsa yang dipercayai aktif sejak Januari lalu.

Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas pihak polis menahan lima individu tempatan termasuk empat wanita berusia 21 hingga 71 tahun menerusi enam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan pada 24 hingga 28 September lalu.

Timbalan Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta, Perundangan dan Tahanan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Abdul Majid berkata, pihaknya menjalinkan kerjasama bersama Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura dalam kes berkenaan.

"Dalam serbuan itu, kami merampas lima jenis dadah iaitu 5.8 kilogram (kg) methaphetamin, ketamin (14.8 kg), cecair MDMA (30.1 liter), serbuk MDMA (34.3 kg) dan kafein (2.2 kg) yang dianggarkan bernilai RM4.9 juta.

"Selain itu, kami turut merampas beberapa peralatan memproses serta membungkus dadah. Dadah yang dirampas dalam serbuan ini boleh digunakan 193,168 penagih dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

Abdul Aziz berkata, pihaknya percaya sindiket itu menjalankan aktiviti penyeludupan dadah untuk pasaran antarabangsa dengan menggunakan perkhidmatan syarikat kurier di Singapura bagi menghantar bungkusan dadah ke negara Eropah.

"Sindiket itu yang dipercayai terbabit dengan kegiatan pengedaran di sekitar Lembah Klang kemudian akan mengisytiharkan dadah berkenaan sebagai bungkusan berisi barang-barang sah bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Berdasarkan barang rampasan, kami percaya terdapat aktiviti memproses dadah di sebuah premis di daerah ini. Namun, sejauh mana penghasilan dadah di premis itu masih dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan terhadap kelima-lima suspek berkenaan mendapati mereka negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman selama 12 hari bermula 25 Septemberlalu hingga hari ini bagi membantu siasatan.

"Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan pelbagai aset termasuk tiga kenderaan bernilai RM250,000 serta wang di dalam 11 akaun bank berjumlah RM426,926," katanya.

Katanya, pihak polis sedang memburu beberapa individu termasuk dalang utama sindiket berkenaan yang masih bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 12:13 PM