Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Menggunakan dua unit kondominium mewah bagi mengelak dikesan polis. Itu taktik satu sindiket memproses dadah didalangi seorang lelaki tempatan bersama tiga wanita warga China berusia antara 48 hingga 56 tahun.

Bagaimanapun kegiatan mereka terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menyerbu kondominium mewah itu dan merampas sejumlah pil serta serbuk dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) bernilai RM26.5 juta di sekitar ibu negara, Khamis lalu.

Pengarahnya, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya mendapat maklumat kondominium mewah itu dijadikan tempat memproses dan penyimpanan dadah sebelum ia dipasarkan ke seluruh ibu negara.

Menurutnya, sindiket berkenaan sengaja menjadikan kondominium mewah yang sukar untuk dimasuki orang luar itu sebagai taktik untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan orang ramai.

"Kondominium itu disewa dengan harga RM2,500 dan pihak polis sendiri sukar untuk memasuki kawasan berkenaan kerana kawalan keselamatan yang ketat.

"Kita melakukan empat serbuan dalam operasi itu namun dua unit dikesan menjadi markas pemprosesan dadah yang termasuk sebuah unit untuk penyimpanan dadah jenis ekstasi itu," katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, dalang utama adalah lelaki tempatan itu dan dia bertanggungjawab mengajar wanita dari China untuk memproses dan membungkus dadah itu.

"Seorang daripada wanita itu adalah teman wanita suspek dan dia diajar menguruskan dadah yang diproses.

"Setiap bahan untuk menghasilkan dadah dibeli dari pasaran tempatan dan kemungkinan dia sendiri belajar memproses dadah dari Internet," katanya.

Beliau berkata, sindiket ini dipercayai aktif sejak penghujung tahun lalu dan mengedar di pasaran tempatan termasuk di pusat hiburan.

"Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang mana JSJN menyita pelbagai aset bernilai RM122,000.

"Aset yang dirampas itu termasuk dua kenderaan, wang tunai, jam tangan dan barang kemas," katanya.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah dan mereka juga tiada rekod jenayah lampau.

"Suspek direman seminggu bermula 27 Mei lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 1:09 PM