Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Polis menumpaskan kegiatan makmal haram memproses dadah dan merampas bahan larangan itu bernilai lebih RM6 juta dalam serbuan di sebuah bangsal di hutan di Chenderiang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan pada jam 9.45 pagi itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tapah.

"Lima lelaki berusia berusia antara 29 hingga 33 tahun yang dipercayai terbabit dengan aktiviti memproses dan mengedar dadah jenis methamphethamine berjaya ditahan.

"Hasil serbuan, polis merampas sejumlah dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 110.453 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM6,627,180," katanya pada sidang media di perkarangan IPK Perak di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata, turut dirampas dalam operasi itu adalah bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing ke atas kelima-lima suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah.

MOHD Yusri menunjukkan peralatan memproses dadah yang dirampas. FOTO L Manimaran
MOHD Yusri menunjukkan peralatan memproses dadah yang dirampas. FOTO L Manimaran

"Dua antara yang ditahan ialah adik-beradik dan semua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap.

"Semakan rekod jenayah mendapati empat suspek mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah pecah rumah secara berkumpulan," katanya

Beliau berkata, sindiket itu dipercayai mula aktif sejak Jun 2022 dan dadah yang dihasilkan adalah untuk pasaran luar Perak.

Menurutnya, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

"Kita turut menyita dua kenderaan dan pelbagai barang kemas dianggarkan keseluruhan nilai harta yang disita RM161,375

"Nilai keseluruhan rampasan dadah bersama anggaran harta yang disita adalah RM6,788,555," katanya.

Katanya, kelima-lima suspek direman selama seminggu mulai Sabtu hingga 2 September depan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 10:47 AM