FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuantan: Hanya 337,765 pekerja daripada lebih lima juta individu yang bekerja sendiri mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) setakat 5 November lalu, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim.

Beliau berkata usaha meningkatkan bilangan pekerja sektor informal mencarum di bawah skim berkenaan sedang dipergiatkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), bagi memastikan mereka dilindungi sewajarnya.

"Mereka yang belum mencarum digalakkan berbuat demikian secepat mungkin demi kebaikan sendiri kerana manfaat SKSPS tidak terhad kepada faedah perubatan sahaja, malah termasuk faedah hilang upaya kekal, hilang upaya sementara, orang tanggungan dan sebagainya.

"Sebab itu, kami akan menggandakan usaha memastikan lebih ramai mencarum (SKSPS) dan pegawai kami dikenakan petunjuk prestasi utama (KPI) supaya fokus memastikan objektif ini tercapai," katanya.

Awang berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Kerja Selamat dan Sihat Sektor Informal-Perikanan Zon Pantai Timur di Dewan Orang Ramai Kampung Kempadang, di sini, hari ini.

Beliau berkata antara sektor informal yang terbabit membuat caruman sendiri ialah perikanan seramai 35,574 pekerja, pengangkutan penumpang (15,610 pekerja), pertanian (1,414 pekerja) dan penternakan (138 pekerja).

Bagi negeri Pahang, Awang yang juga pengerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berkata terdapat 11,064 pekerja sektor informal sudah mencarum SKSPS, dengan 11.3 peratus atau 1,244 pencarum terdiri daripada pekerja sektor perikanan.

"Kami akan bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi meningkatkan kesedaran mengenai perlindungan skim ini dalam kalangan nelayan seluruh negara kerana kerja mereka juga berisiko," katanya.

Pada perkembangan berkaitan, menurutnya sebanyak 679 kes kemalangan bagi sektor pertanian, perikanan dan perhutanan direkodkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan setakat September lalu, dengan 11 daripadanya membabitkan kematian.

Justeru, beliau menyarankan semua pihak mengambil iktibar atas kes kemalangan berkenaan bagi mengelak tragedi sama berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 5:10 PM