GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nuraliawati Sabri


Melaka: Seramai 41 guru di negeri ini yang dikenal pasti enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, sesi libat urus akan diadakan pihaknya bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi mendekati guru itu supaya bersetuju menerima vaksin dalam masa terdekat.

Beliau berkata, dalam tempoh sebulan ini pihaknya bersama JPN akan mengambil langkah mendekati kumpulan guru itu.

"Jumlah guru di negeri ini ialah seramai 13,800 dan daripada jumlah itu kira-kira 0.2 peratus tidak mahu menerima vaksin.

"Mereka ini saya tidak mahu melabelkan sebagai anti vaksin, mungkin mereka tidak faham atau belum terbuka hati lagi," katanya.

Beliau berkata, setakat ini seramai 94 peratus guru sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin manakala 479 sedang menunggu janji temu.

"Dengan kerjasama erat JPN dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) kita boleh capai 100 peratus guru divaksin sebelum Oktober depan," katanya.

Noor Effandi berkata, semua guru perlu memainkan peranan dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) memandangkan sekolah dijangka akan dibuka secara berperingkat mulai awal Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 4:27 PM