Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay
Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri ini didapati pada tahap yang rendah.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia berdasarkan pihak polis mengeluarkan 222 nasihat kepada individu yang didapati melanggar SOP PPN, semalam.

"Sejak Johor memasuki Fasa 2 PPN pada 24 September lalu, 10 kenderaan diarah berpatah balik kerana tidak lengkap vaksinasi ketika cuba melakukan rentas daerah.

"Polis Johor juga menggerakkan operasi pematuhan, namun apa yang dilihat kadar pematuhan orang ramai sudah menurun. Selepas ini, tiada lagi nasihat, pelanggaran SOP akan terus dikompaun.

"Antara lokasi diberi tumpuan adalah di pusat beli belah, pantai dan pusat rekreasi bagi menjalankan pemeriksaan termasuk syarat individu perlu lengkap vaksin," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, pihaknya membuka kertas siasatan susulan dakwaan terdapat anggota polis di negeri ini mengganggu isteri seorang anggota polis lain.

"Kita ada terima laporan pada 23 September lalu berhubung kejadian ini dan siasatan akan dijalankan. Jika benar seperti didakwa kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang.

"Walaupun kejadian ini membabitkan anggota polis, kita akan tetap membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 4:18 PM