Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay.
Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay.
Oleh Omar Ahmad


POLIS Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang memakai gelang Covid-19 sekiranya mereka melanggar perintah kuarantin di rumah.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay berkata tindakan tegas tersebut sama ada menangkap atau dikompaun.

Katanya, pihak polis sentiasa akan memantau pergerakan individu yang memakai gelang merah jambu itu dengan berkunjung ke rumah.

"Kunjungan itu akan dilakukan dengan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Kita masih ada 18 lokasi sekatan jalan raya (SJR) dengan pasukan pemantauan yang masih beroperasi bagi memastikan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Mungkin masyarakat beranggapan tiada tangkapan baharu, tiada kompaun baharu dikeluarkan, mungkin mereka beranggap mereka boleh buat apa sahaja, kita akan ambil tindakan tegas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Khaw Kok Chin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 6:12 PM