AYOB Khan ketika menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru. FOTO IHSAN POLIS JOHOR
AYOB Khan ketika menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru. FOTO IHSAN POLIS JOHOR
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Polis Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai atasan yang melindungi salah laku anggota bawahannya sehingga menjejaskan integriti polis di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata menerusi pemeriksaan yang dijalankan Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu, berlakunya kes membabitkan salah laku di daerah.

"Ketua Polis Daerah jangan sesekali menyalahgunakan konsep dengan melindungi salah laku itu, saya pasti akan dapat mengesan dan ambil tindakan tegas terhadap semua pihak.

"Ketua Polis Daerah jangan ambil tindakan dwi standard, yang rapat dan jaga kepentingan dilindungi, yang tidak pula diambil tindakan, ketua jenis ini hanya masa yang akan menentukan tindakan, tunggu dan lihat.

"Pegawai dan anggota yang terbabit dengan salah laku, tiada lagi amaran. Seperti saya jelaskan sebelum ini, pilihan pertama kertas siasatan akan dibuka, kedua kes diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ketiga siasatan oleh JIPS," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, walaupun di peringkat JIPS, pihaknya akan memberi keutamaan terhadap tindakan membuang kerja atau diturunkan pangkat.

Dalam pada itu, katanya, tindakan tegas juga akan dilaksanakan ke atas pegawai atau anggota yang tidak melaksanakan tugas mahupun tanggungjawab mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta arahan khususnya membabitkan penugasan di sekatan jalan raya (SJR).

"Tiada lagi nasihat atau amaran terhadap pelanggaran SOP, sebaliknya tindakan undang-undang akan diambil.

"Ini kerana, sebarang kelalaian boleh menyebabkan pembolosan masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mungkin akan membawa wabak Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 2:46 PM