Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sebanyak 7,740 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) menerusi Op Patuh di seluruh negara, bermula dari 25 Jun sehingga semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, jumlah itu menerusi pemeriksaan 2.2 juta premis termasuk kilang, premis perniagaan, tapak pembinaan dan asrama pekerja.

Katanya, selain tindakan kompaun, sebanyak 4,622 premis diarahkan ditutup kerana didapati melanggar SOP ditetapkan.

"Seramai 3,442 pasukan pematuhan dengan kekuatan keseluruhan seramai 14,959 pegawai dan anggota polis terbabit dalam Op Patuh di seluruh negara yang turut membabitkan agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan lain-lain.

MAZLAN (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Roseihi Ismail (dua kanan) sambil diperhatikan Ayob Khan (kiri) dan Kasuahdi (dua kanan) ketika Lawatan Rasmi ke IPK Johor dan Majlis Sumbangan kepada Pesara Polis. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MAZLAN (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Roseihi Ismail (dua kanan) sambil diperhatikan Ayob Khan (kiri) dan Kasuahdi (dua kanan) ketika Lawatan Rasmi ke IPK Johor dan Majlis Sumbangan kepada Pesara Polis. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Menerusi Op Patuh yang dilaksanakan, pemeriksaan berterusan dilakukan di kawasan kilang, tapak pembinaan, asrama penempatan pekerja dan premis perniagaan, sebagau langkah mengelakkan penularan wabak Covid-19 di negara kita tidak terkawal," katanya pada sidang media selepas Program Penyerahan Sumbangan Kepada Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Gerakan Am Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, tindakan kompaun dan arahan penutupan premis yang dikenakan dibuat selepas pemeriksaan dilakukan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai surat kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Selain itu, keseluruhan SOP di dalam premis juga dipastikan dipatuhi sepenuhnya sewaktu pemeriksaan dilakukan. Tindakan akan diambil jika SOP turut didapati dilanggar.

"Pemeriksaan secara berterusan menerusi Op Patuh ini dilakukan dari masa ke semasa sehingga kita mendapat arahan selanjutnya,"katanya.

MAZLAN ketika sidang media selepas Lawatan Rasmi ke IPK Johor dan Majlis Sumbangan kepada Pesara Polis. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MAZLAN ketika sidang media selepas Lawatan Rasmi ke IPK Johor dan Majlis Sumbangan kepada Pesara Polis. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 2:57 PM