MAYAT mangsa dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserah kepada polis. FOTO ihsan APMM
MAYAT mangsa dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserah kepada polis. FOTO ihsan APMM
Zuhainy Zulkiffli


Teluk Kumbar: Mayat lelaki tanpa identiti dan lengkap berpakaian sukan ditemukan terapung di perairan Teluk Kumbar, semalam.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang menerima panggilan daripada nelayan pantai berhubung penemuan itu pada jam 4.10 petang.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pencarian menemukan mayat berkenaan 1.1 batu nautika selatan Pasir Blanda, Teluk Kumbar.

Katanya, mangsa dipercayai lelaki dan lengkap berbaju dan berseluar panjang sukan berwarna hitam.

"Namun tiada sebarang identifikasi diri ditemui pada mayat berkenaan.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban sebelum kes diserah kepada polis bagi tindakan lanjut," katanya di sini, hari ini.

Menurut Abd Razak, setakat ini APMM belum menerima sebarang aduan berkenaan orang hilang di laut.

Pihaknya juga menyeru mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga atau saudara segera tampil membuat aduan di balai polis yang berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 10:52 AM