Nurul Amanina Suhaini

Kota Tinggi: Tujuh kapal masih bersauh di perairan Johor Timur dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang menunggu untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Madya Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, pihaknya masih menunggu pengesahan Jabatan Laut berkaitan status tujuh kapal terbabit.

"Ia masih berdegil bersauh di perairan berkenaan berbanding yang lain. Kami akan ambil tindakan selepas mendapat pengesahan daripada Jabatan Laut," katanya pada sidang media Penutup Op Khas Jangkar Haram di Bilik Mesyuarat, Zon Maritim Tanjung Sedili di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah APMM Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria.

Pada masa sama, menurut beliau, ada peningkatan dengan jumlah kapal yang bersauh tanpa kebenaran.

"Ia berjumlah 105, terutama di perairan Johor Timur. APMM turut menahan 18 kapal tangki yang hampir kesemuanya berdaftar di negara asing.

"Selebihnya beredar selepas diberi amaran dan tindakan penahanan diambil," katanya.

KAMARUSZAMAN (tengah) bersama Pengarah Maritim Malaysia (Johor), Laksamana Pertama Nurul Hizam Zakaria (kiri), dan Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Sulhan Zainon (kanan) menunjukkan peta kawasan operasi selepas sidang media berkenaan penutup Op Khas Jangkar Haram di Bilik Mesyuarat, Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi. FOTO Nur Aisyah Mazalan
KAMARUSZAMAN (tengah) bersama Pengarah Maritim Malaysia (Johor), Laksamana Pertama Nurul Hizam Zakaria (kiri), dan Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Sulhan Zainon (kanan) menunjukkan peta kawasan operasi selepas sidang media berkenaan penutup Op Khas Jangkar Haram di Bilik Mesyuarat, Zon Maritim Tanjung Sedili, Kota Tinggi. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Mengulas berkaitan Op Khas Jangkar, Kamaruszaman berkata, pengusiran 71 kapal tangki menerusi operasi itu diharap menjadi mesej jelas kepada pihak berkaitan seperti ejen kapal supaya tidak melanggar undang-undang.

Menurut Kamaruszaman, APMM sedar kesukaran yang dihadapi banyak pihak termasuk ejen serta pemilik kapal ketika ini akibat penularan Covid-19.

"Tetapi itu bukan alasan bagi mereka untuk melanggar undang-undang," katanya.

Kamaruszaman berkata, operasi itu berjaya menurunkan statistik kapal yang berlabuh secara haram dengan drastik, namun pihaknya percaya kegiatan itu boleh berulang.

"Perairan Johor Timur adalah laluan keluar dan masuk yang sibuk, khasnya bagi kapal dagang dan feri penumpang yang melalui Selat Singapura.

"Ia laluan utama yang keluar dari timur ke barat, sekiranya berlaku kemalangan, ini akan mendatangkan masalah kepada negara yang terletak berhampiran kawasan berkaitan," katanya.

Sehubungan itu, menurut Kamaruszaman, operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 9:05 PM