MOHD Salim (kiri) meninjau proses pemberian suntikan vaksin kepada Muhammad Maarof  di PPV pandu lalu di Pejabat Daerah dan Tanah  Jempol.
MOHD Salim (kiri) meninjau proses pemberian suntikan vaksin kepada Muhammad Maarof di PPV pandu lalu di Pejabat Daerah dan Tanah Jempol.
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Pusat pemberian vaksin (PPV) secara pandu lalu di Pejabat Daerah dan Tanah Jempol yang pertama di negeri ini memberi alternatif kepada penerima vaksin di daerah ini selain mampu mencapai sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) ditetapkan.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata, kemudahan PPV pandu lalu itu memudahkan masyarakat setempat menerima vaksin dengan cepat, selamat dan mengurangkan risiko jangkitan.

Katanya, PPV pandu lalu itu juga meringankan golongan warga emas, berkerusi roda, bertongkat dan yang memerlukan perhatian di sepanjang proses penerimaan vaksin.

"Selain PPV pandu lalu di Pejabat Tanah dan Daerah, kita juga akan melaksanakan kaedah serupa di dua lagi PPV iaitu di Kompleks Sukan Komuniti Felda Palong Enam dan Dewan Majlis Perbandaran Jempol (MPJL).

"Langkah ini antara usaha dan matlamat kita supaya mempercepatkan sasaran imuniti kelompok 80 peratus, sekali gus mengekang penularan virus Covid-19," katanya pada Program PPV pandu lalu di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Daerah Jempol, Nawal Mohamed Amin, Timbalan Pengarah Risda Negeri, Kamarul Azizi Mat Zin dan Penyelaras PPV Daerah Jempol, Dr Ismul Adham Zaini.

Mohd Salim berkata, seramai 130,000 penduduk di Jempol layak menerima vaksin dan 15,613 penduduk sudah menerima dos pertama sehingga kelmarin.

Dalam perkembangan lain, Mohd Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, seramai 75 peratus daripada 552,543 pekebun kecil akan menerima suntikan vaksin menjelang akhir tahun ini.

Katanya, Risda turut mengadakan program vaksin bergerak dengan membawa petugas kesihatan ke kampung selain menyediakan kenderaan serta infrastruktur sementara untuk kemudahan penerima vaksin.

"Risda juga dalam masa terdekat memperluaskan PPV Bergerak ke seluruh negara, melalui kerjasama ini hasrat meningkatkan imuniti kelompok terutama di kawasan luar bandar dapat dicapai dengan cepat," katanya.

Penerima vaksin, Mohamad Sidek, 65, dari Mahsan berkata, kaedah pemberian vaksin pandu lalu sangat mudah selain tidak perlu menunggu lama.

Pesara polis itu juga mengesyorkan lebih banyak PPV pandu lalu dibuka bagi memudahkan orang ramai menerima vaksin.

Kakitangan Pejabat Risda Daerah Jempol, Muhammad Maarof berkata, dia gembira kerana menerima suntikan dos kedua secara pandu lalu.

"Tidak perlu menunggu lama mendapatkan suntikan malah masa diambil kurang dua minit," katanya.

PETUGAS kesihatan membuat persediaan pemberian suntikan vaksin secara pandu lalu di PPV pandu lalu.
PETUGAS kesihatan membuat persediaan pemberian suntikan vaksin secara pandu lalu di PPV pandu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 9:54 AM