AMINUDDIN HARUN
AMINUDDIN HARUN
Ahmad Hasbi


Seremban: Negeri Sembilan berada di landasan yang tepat untuk terus memulihkan ekonomi terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19 selepas negeri itu beralih ke Fasa 4 Plan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peralihan berkenaan tidak dapat direalisasikan tanpa kerjasama petugas barisan hadapan dan kepatuhan penduduk negeri itu terhadap prosedur standard operasi (SOP).

"Negeri Sembilan bakal beralih ke Fasa 4 PPN berkuatkuasa 24 September 2021. Keputusan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

"Tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang sentiasa memberikan kerjasama dengan mematuhi SOP yang ditetapkan dengan baik.

"Peralihan ke Fasa 4 PPN ini juga tidak dapat direalisasikan tanpa kerjasama baik semua petugas barisan hadapan yang berusaha menguatkuasakan SOP," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan menumpukan usaha yang menyeluruh untuk merancakkan semula ekonomi sekali gus mengurangkan kesan pasca Covid-19.

"Negeri Sembilan kini berada dalam landasan yang baik untuk pemulihan sektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

"Insya-Allah dengan peralihan ke Fasa 4 PPN ini, usaha yang lebih menyeluruh untuk menggalakkan ekonomi dapat dilaksanakan dan seterusnya mengurangkan impak terhadap sektor ekonomi pasca Covid-19 kelak," katanya.

Beliau turut meminta penduduk di Negeri Sembilan supaya mendapatkan maklumat mengenai SOP Fasa 4 PPN melalui saluran rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Harian Metro semalam melaporkan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bersetuju membenarkan peralihan fasa bagi tiga negeri dan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada beberapa sektor.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor masing-masing akan beralih kepada Fasa 4, Fasa 3 dan Fasa 2 berkuatkuasa esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 2:06 PM