GAMBAR hiasan. Pantai Telok Kemang antara lokasi tumpuan orang ramai di Negeri Sembilan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Pantai Telok Kemang antara lokasi tumpuan orang ramai di Negeri Sembilan. FOTO arkib NSTP
Ahmad Hasbi

Seremban: Polis Kontinjen Negeri Sembilan memberi amaran kepada penduduk negeri lain supaya tidak mengambil kesempatan merentas masuk ke negeri ini susulan peralihan ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya tidak akan melonggarkan kawalan atau penguatkuasaan pematuhan prosedur standard operasi (SOP) di negeri itu meskipun sudah beralih ke Fasa 4 PPN.

"Penguatkuasaan dan pemantauan akan dilaksanakan seperti sebelum ini. Jika ketika di Fasa 1 dan 2, kami memberikan tumpuan kepada operasi kilang dan premis yang berkeperluan beroperasi, tetapi kali ini kami tumpu pada sektor yang baharu dibuka ketika Fasa 4.

"Beberapa aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan ketika Fasa 4 seperti majlis perkahwinan, operasi spa kecantikan dan sebagainya. Jadi pemantauan tertumpu kepada sektor berkenaan bagi memastikan mereka mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ada penduduk di negeri lain yang beranggapan polis akan melonggarkan kawalan di pintu masuk Negeri Sembilan selepas beralih ke Fasa 4 dan cuba merentas ke negeri ini atas tujuan melancong atau pulang ke kampung.

"Tidak kira orang awam, selebriti atau ahli politik sekalipun, jika kami mendapati mereka masuk ke negeri ini tanpa alasan yang munasabah, kami akan ambil tindakan," katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan melakukan pemeriksaan secara rambang di kawasan tumpuan orang ramai dan pelancongan di negeri ini bagi memastikan orang awam mematuhi SOP.

"Jika kami mendapati mereka dari luar Negeri Sembilan dan lebih teruk jika tidak lengkap dos suntikan vaksin Covid-19, polis akan ambil tindakan. Jadi jangan sesekali cuba curi masuk ke negeri ini," tegasnya.

Untuk rekod, Negeri Sembilan satu-satunya negeri yang berada di Fasa 4 PPN di Semenanjung Malaysia, manakala negeri jiran seperti Melaka, Johor dan Selangor masih di Fasa 2.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 10:40 AM