GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ahmad Hasbi

Seremban: Negeri Sembilan hampir mencapai imuniti kelompok apabila 76.4 peratus daripada penduduk negeri itu yang berusia 18 tahun ke atas sudah lengkap menjalani proses vaksinasi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah kes baharu harian di negeri itu juga menunjukkan jumlah kes terendah di Malaysia.

"Sehingga 27 Ogos, seramai 76.40 peratus atau 622,081 orang berumur 18 tahun dan ke atas sudah lengkap divaksinasi. Ini bermakna Negeri Sembilan semakin menghampiri imuniti kelompok.

"Keberkesanan program vaksinasi ini dapat dilihat melalui jumlah harian kes baru positif Covid-19 yang dimuat naik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Contohnya semalam hanya 345 kes dikesan, antara kadar terendah di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang sentiasa berusaha mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Harapan saya, semoga kita sentiasa mematuhi SOP supaya kes tidak kembali menular dan seterusnya menyukarkan Negeri Sembilan untuk beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Menerusi data yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, seramai 762,161 individu sudah mengambil dos pertama, manakala seramai 622,081 sudah lengkap proses vaksinasi.

Khamis lalu, Aminuddin juga mengumumkan Negeri Sembilan beralih daripada Fasa Satu ke Fasa Dua PPN mulai 26 Ogos apabila lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi.

Katanya, rentas daerah bagi individu yang sudah lengkap menerima vaksin dibenarkan dengan mengemukakan kad atau sijil digital vaksinasi Covid-19 dan Mykad sebagai bukti apabila diminta untuk berbuat demikian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 9:21 AM