PASANGAN warga emas lega dan bersyukur kerana penantian menerima suntikan vaksin kali pertama tercapai hari ini. FOTO Rosman Shamsudin
PASANGAN warga emas lega dan bersyukur kerana penantian menerima suntikan vaksin kali pertama tercapai hari ini. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


Slim River: Hanya perkataan syukur mampu diluahkan suami isteri warga emas apabila mereka menerima suntikan vaksin dos pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), hari ini.

Pasangan Sharaie Abdul Hamid, 75, dan isterinya, Jainab Jali, 70, disuntik vaksin kira-kira 1 tengah hari tadi selepas menerima pesanan temujanji menerusi aplikasi MySejahtera.

Sharaie berkata, dia akan memeriksa aplikasi My Sejahtera di telefon pintarnya pada setiap hari sehingga kadang kala mencecah hampir 10 kali.

Katanya, tindakan melihat aplikasi berkenaan berulang-kali kerana bimbang terlepas giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin.

"Kerajaan berbelanja jutaan ringgit untuk memberi vaksin secara percuma kepada rakyat dalam memerangi wabak Covid-19 maka menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk menerima suntikan itu.

"Walaupun sudah menerima vaksin, tetapi ia bukan tiket untuk melanggar prosedur operasi standard (SOP)," katanya ketika ditemui di PPV Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, di sini.

Sementara itu, Jainab pula berkata, dia bersyukur apabila penantiannya untuk menerima suntikan vaksin akhirnya tercapai.

"Memang ada perasaan gemuruh pada awalnya, namun perasaan itu hilang dengan sekelip mata dan bertukar dengan rasa bersyukur selepas selesai disuntik.

"Lega rasanya bila sudah disuntik vaksin, kalau tidak setiap hari suami asyik menyuruh saya melihat aplikasi MySejahtera berulang-kali setiap hari kerana takut terlepas peluang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 4:27 PM