YUHANI Yunus, 57, menemani ayahnya, Yunus Hassan, 84, menerima suntikan vaksin di PPV KLCC, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
YUHANI Yunus, 57, menemani ayahnya, Yunus Hassan, 84, menerima suntikan vaksin di PPV KLCC, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: "Selepas dua kali terlepas tarikh temu janji, saya bersyukur ayah berjaya menerima vaksin hari ini," kata Yuhani Yunus, 57.

Yuhani berkata, beliau mendaftar ayahnya, Yunus Hassan, 84, sebagai penerima vaksin pada aplikasi MySejahtera melalui akaun miliknya awal Mei lalu.

"Bagi pendaftaran kali pertama, ayah dijadualkan menerima vaksin pada 11 Mei lalu, namun saya terlepas tarikh temu janji berkenaan dan dijadualkan semula pada hujung Mei lalu.

"Malangnya, saya tidak perasan juga tarikh temu janji kali kedua menyebabkan saya jadualkan semula tarikh temu janji itu yang dijadualkan hari ini.

"Meskipun terpaksa menjadualkan semula temu janji berkenaan beberapa kali, saya bersyukur kerana akhirnya ayah dapat menerima vaksin," katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Meskipun ayahnya sudah menerima suntikan vaksin, Yuhani berkata, beliau sendiri masih menunggu tarikh temu janji vaksin untuk dirinya.

"Saya sudah membuat pendaftaran bagi mendapatkan suntikan vaksin sama pada hari saya mendaftarkannya untuk ayah.

"Namun sehingga kini, saya masih belum mendapat tarikh temu janji untuk menerima suntikan," katanya.

Seorang lagi penerima vaksin, Raziah Hashim, 59, berkata, beliau seronok dapat menerima suntikan vaksin kerana percaya ia dapat melindungi dirinya dari penyakit serta jangkitan Covid-19.

"Sebelum ini, saya ada mendaftar tapi tidak dapat (tarikh temu janji). Saya bersyukur kali ini saya berjaya menerima suntikan vaksin.

"Namun, ada juga rasa takut kerana bimbang dengan tindak balas vaksin berkenaan boleh menyebabkan demam," katanya yang memaklumkan mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Beliau yang datang ditemani anaknya, memaklumkan proses menerima vaksin di PPV berkenaan berjalan lancar tanpa perlu menunggu lama.

"Saya dan anak tiba di pusat ini kira-kira jam 10 pagi memandangkan temu janji saya dijadualkan jam 10.30 pagi.

"Semua proses bermula dari pendaftaran sehingga menerima suntikan vaksin hanya mengambil masa kira-kira 30 minit sahaja dan keadaan persekitaran pusat ini juga selesa," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, proses penerimaan suntikan vaksin di PPV KLCC dilihat tersusun serta sistematik dengan penyediaan kemudahan bagi penerima.

"Tinjauan dilakukan di pusat ini mendapati kebanyakan penerima vaksin adalah golongan warga emas. Selain ruang dewan yang luas, pusat ini turut menyediakan kerusi untuk menunggu serta kerusi roda.

"Penyediaan kemudahan ini sekali gus memudahkan pelaksanaan serta pemantauan prosedur operasi standard (SOP) terutamanya membabitkan penjarakan fizikal," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di pusat berkenaan, hari ini.

Katanya, daerah Dang Wangi mempunyai dua PPV iaitu di KLCC dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang memiliki kapasiti 8,000 penerima setiap hari.

"Kawalan ketat bagi pematuhan SOP di kedua-dua pusat ini akan diteruskan memandangkan terdapat golongan berisiko yang menerima vaksin di pusat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 3:16 PM