Hidayatidayu Razali

Pasir Mas: Peniaga ayam yang positif HIV didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap pertuduhan merogol remaja di bawah umur yang dipercayai kekasihnya, Mac lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 24 tahun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol kanak-kanak berusia 15 tahun tujuh bulan ketika kejadian dengan mengetahui bahawa dirinya menghidap HIV dalam sebuah Perodua Kembara di Jalan Kampung Laut 1, dekat Tumpat, pada waktu malam sekitar Mac 2021.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (i) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (2) Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.

PENIAGA ayam yang positif HIV didakwa di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan merogol remaja bawah umur. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PENIAGA ayam yang positif HIV didakwa di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan merogol remaja bawah umur. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Terdahulu, peguam bela, Mohd Khuzaimi Mohd Salleh memohon supaya anak guamnya diberi ikat jamin.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana bimbang tertuduh mengganggu mangsa yang sedang mengandung lima bulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta untuk serahan dokumen laporan perubatan.

Difahamkan, keluarga tertuduh membayar wang jaminan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Ogos 2021 @ 1:24 PM