Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Lelaki yang juga penganggur menjadikan sebuah rumah kampung di Jelutong di sini, sebagai tempat bagi menjalankan kegiatan membungkus dan menyimpan dadah sejak enam bulan lalu.

Kegiatan lelaki itu berjaya dibongkar susulan penahanannya bersama lima ahli keluarga termasuk isterinya yang juga warga Indonesia oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan di kawasan berhampiran Prai, pada jam 6 petang, 4 Mac lalu.

Berpandukan maklumat suspek, pasukan polis kemudian menyerbu rumahnya di Jelutong, di sini, pada jam 10.40 malam hari yang sama dan menahan lima lagi ahli keluarga.

"Menerusi serbuan itu, polis menahan isterinya, abang ipar, anak lelaki dan perempuan serta anak angkat yang kesemuanya berusia antara 15 hingga 63 tahun.

"Pemeriksaan dalam rumah itu menemukan ketulan dadah dan serbuk kristal disyaki syabu serta sejumlah pil yaba yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM128,912," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.

SOFFIAN menunjukkan dadah jenis syabu dan ketulan mampat ganja yang dianggarkan bernilai RM282,464.00 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Timur Laut, di sini, hari ini. FOTO MIKAIL ONG
SOFFIAN menunjukkan dadah jenis syabu dan ketulan mampat ganja yang dianggarkan bernilai RM282,464.00 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Timur Laut, di sini, hari ini. FOTO MIKAIL ONG

Mengulas lanjut Soffian berkata, risikan mendapati suspek turut menjadikan rumahnya sebagai tempat menyimpan dan membungkus dadah bagi dijual di pasaran tempatan sekitar Pulau Pinang.

"Siasatan mendapati seorang daripada ahli keluarga suspek tahu mengenai kegiatan yang dijalankan itu namun kita masih menyiasat sama ada suspek lain yang ditahan turut mengetahuinya.

"Ujian saringan air kencing terhadap semua suspek mendapati seorang daripada mereka iaitu suspek pertama positif dadah dan mempunyai dua rekod lampau berkait jenayah.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 23,010 penagih dadah sekiranya ia berjaya dipasarkan," katanya lagi. Menurut Soffian, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan tindakan juga diambil mengikut ADB (Perlucuthakan Harta 1988) yang mana polis turut menyita wang tunai berjumlah RM59,900.

"Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan berjumlah RM188, 812.

"Kesemua suspek ditahan reman selama enam hari sehingga 10 Mac ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 5:04 PM