UniMAP. FOTO Arkib NSTP
UniMAP. FOTO Arkib NSTP
Aizat Sharif

Arau: Sebanyak 88 peratus pelajar dan 94.11 peratus kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sudah menerima suntikan vaksin sehingga semalam.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, pihaknya sudah memperkukuhkan prosedur operasi standard (SOP) di kampus dalam mengawal penularan pandemik ini dengan menyediakan kit ujian kendiri Covid-19 kepada pelajar yang akan kembali ke kampus.

"Selain itu, kita juga menambah baik fasiliti pusat pengasingan di universiti bagi menguruskan kes bergejala atau jangkitan.

"Pengurusan UniMAP kini mempergiatkan usaha untuk menghubungi pelajar yang masih belum menerima suntikan vaksin untuk pergi ke pusat pemberian vaksin (PPV) berhampiran bagi menerima suntikan itu.

"Pihak universiti mengenal pasti seramai 1,035 pelajar masih belum menerima vaksin atas beberapa faktor dan UniMAP sudah memanjangkan maklumat pelaksanaan suntikan vaksin secara 'walk in' di mana jua PPV kepada pelajar lama dan baharu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, bagi segelintir pelajar yang tidak berminat menerima suntikan, pihak UniMAP akan menggunakan mekanisme bersesuaian bagi mengenal pasti situasi sebenar pelajar terbabit.

Sehingga kini, hanya tiga orang yang didapati tidak berminat untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Sebelum ini, UniMAP menggunakan pelbagai pendekatan termasuk menyediakan perkhidmatan bas untuk pelajar di kampus bagi mendapatkan vaksin di PPV di sekitar Perlis dalam usaha kampus berkenaan memastikan 100 peratus pelajar dan stafnya lengkap menerima vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 9:42 AM