SERAMAI 67 pelajar serta tiga kakitangan UniMAP berlepas ke Lembah Klang untuk membantu mangsa banjir di Shah Alam dan Klang. FOTO Aizat Sharif
SERAMAI 67 pelajar serta tiga kakitangan UniMAP berlepas ke Lembah Klang untuk membantu mangsa banjir di Shah Alam dan Klang. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif

Arau: Lebih 120 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terkandas akibat banjir yang melanda beberapa negeri minggu lalu.

Naib Canselor UniMAP Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, jumlah itu merangkumi 34,000 mangsa banjir yang ditempatkan di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri yang terjejas banjir seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.

"Kita melihat hujan lebat yang melanda ini sudah menjadi mimpi buruk buat beberapa negeri yang terjejas akibat banjir.

"Malah, sehingga semalam (kelmarin) terdapat lebih 120 pelajar kita (UniMAP) yang terkandas tidak dapat pulang ke kampus kerana banjir selepas berada bersama-sama keluarga masing-masing selepas pulang bercuti hujung minggu," katanya ketika ditemui selepas melakukan pelepasan kenderaan bagi Misi Sukarelawan UniMAP: Ops Kasih Banjir 2021 di Bangunan Canselori UniMAP di Pauh Putra, di sini, semalam.

Katanya, walaupun Perlis tidak mengalami situasi banjir dahsyat seperti negeri lain, namun itu tidak menghalang institusi pengajian tinggi awam itu menghulurkan bantuan kemanusiaan bagi membantu mangsa banjir terutama di negeri yang terjejas bencana berkenaan minggu lalu.

"Atas dasar keprihatinan yang tinggi dan selari dengan konsep UniMAP For Society, kita menghantar 70 sukarelawan bagi membantu mangsa banjir di beberapa kawasan di Selangor seperti di Shah Alam dan Klang.

"Misi bantuan ini membabitkan 67 pelajar dan tiga staf universiti berkenaan yang akan membantu dalam membantu penduduk yang terkesan termasuk di PPS terpilih dan juga kawasan sekitar Shah Alam dan Klang.

"Selain itu, misi bantuan ini akan dilaksanakan dalam dua fasa bermula hari ini (20 Disember) hingga 22 Disember sebelum diikuti kumpulan kedua pada 22 hingga 24 Disember ini," katanya.

Beliau berkata, sukarelawan ini akan digerakkan ke kawasan dilanda banjir untuk membantu melaksanakan tugasan mencuci dan membersihkan kawasan yang terjejas akibat banjir berkenaan.

"Pada masa sama, UniMAP turut melancarkan Tabung Bantuan Banjir Lembah Klang bagi mengumpul dana kewangan untuk membeli keperluan asas supaya dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa.

"Selain itu, kita turut menyalurkan bantuan berupa keperluan asas dan juga wang tunai RM200 menerusi dana Tabung Kebajikan dan Tabung Bencana kepada pelajar berkenaan (pelajar terjejas banjir)," katanya.

Beliau turut menasihatkan sukarelawan menjaga keselamatan diri dan mematuhi SOP ditetapkan serta melaksanakan tugasan dengan sebaiknya tanpa mengabaikan sensitiviti mangsa banjir.

Sementara itu, misi sukarelawan UniMAP itu bergerak sekitar jam 8.30 malam menggunakan dua bas.

Selain itu, UniMAP turut menghantar satu kenderaan pacuan empat roda diketuai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Dr Mohd Fo'ad ma bagi mengenal pasti dan mengesan lokasi serta situasi pelajar universiti berkenaan yang terbabit dalam bencana berkenaan di Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 2:34 PM