PETUGAS kesihatan mengisi vaksin ke dalam picagari di PPV Tokong Ban Siew Keng, Jenjarom. FOTO Aziah Azmee
PETUGAS kesihatan mengisi vaksin ke dalam picagari di PPV Tokong Ban Siew Keng, Jenjarom. FOTO Aziah Azmee
Aizat Sharif


Kangar: Kerajaan Negeri Perlis akan meneliti dengan lebih lanjut berhubung tawaran pembelian vaksin terutama vaksin Sinovac, dan ia bergantung kepada beberapa aspek sebelum sebarang pembelian vaksin dapat dimuktamadkan kelak.

Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof berkata, antara aspek yang diambil kira terlebih dahulu adalah unjuran bekalan vaksin semasa oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) sehingga Perlis dapat mencapai 80 peratus kadar vaksinasi.

"Selain itu, kita juga melihat pencapaian kemajuan proses pemberian vaksin di Perlis dalam proses peralihan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kemampuan kewangan dan kos pembelian terbabit.

"Namun, buat masa ini, belum ada sebarang ketetapan dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk membeli sebarang vaksin," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pemberian vaksin dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sudah mengambil kira keperluan dan keupayaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada.

"Pada masa sama, pelbagai kaedah untuk proses vaksinasi mula diperkenalkan misalnya Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) akan memperkenalkan vaksinasi bergerak dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

"Bagaimanapun, sekiranya mekanisme pembelian vaksin ini adalah selain daripada perancangan unjuran bekalan vaksin seperti yang pernah dibuat sebelum ini oleh MOSTI menerusi JKJAV, kerajaan negeri boleh mempertimbangkan," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Perlis berkata, dalam soal pemberian subsidi kepada sektor industri di negeri ini bagi proses vaksinasi, tiada perancangan terhadap perkara berkenaan dilakukan.

"Sektor industri di Perlis kecil sahaja dan proses pemberian vaksin secara percuma digalakkan menerusi program vaksinasi percuma sedia ada yang dilaksanakan oleh kerajaan buat masa ini.

"Jika pembelian dibuat, elemen subsidi akan mengambil kira juga keupayaan kewangan kerajaan negeri," katanya.

Pada Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sebanyak 14 juta dos vaksin Sinovac akan dijual Pharmaniaga Bhd kepada syarikat swasta dan negeri yang berminat mulai bulan ini sehingga September.

Penjualan vaksin secara terus kepada pihak yang berminat itu sudah mendapat kebenaran JKJAV.

Langkah berkenaan diharap dapat membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 2:01 PM