Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin. FOTO ihsan UMS
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin. FOTO ihsan UMS
Izwan Abdullah

Labuan: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melaksanakan saringan kesihatan bagi mencegah penularan Covid-19 di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) berikutan situasi pandemik itu yang membimbangkan di pulau itu.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, saringan kesihatan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa oleh Pusat Kesihatan Warga UMS itu adalah antara sembilan inisiatif yang digariskan demi kesihatan dan keselamatan warga UMSKAL.

Menurutnya, pihak pengurusan universiti amat mengambil berat aspek keselamatan dan kebajikan seramai 107 pelajar dan 261 orang kakitangan yang berada di UMSKAL ketika ini.

"Oleh kerana kes jangkitan Covid-19 yang tinggi dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, semua pelajar diminta untuk terus kekal di kawasan kampus dan tidak dibenarkan sama sekali bergerak ke luar kampus.

"Sehubungan dengan itu, pengurusan UMSKAL memastikan segala keperluan dari segi kebajikan dan pemantauan tahap kesihatan pelajar sentiasa terjaga dan beberapa inisiatif juga sudah dilaksanakan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Selain saringan kesihatan, UMS turut menyediakan talian 'hotline' yang sentiasa bersedia untuk menerima dan mengendalikan aduan pelajar serta ibu bapa di samping mengadakan slot bimbingan dan motivasi kepada pelajar dari semasa ke semasa.

Dari segi keperluan dan kebajikan pelajar, katanya, antara inisiatif yang diambil ialah memastikan kemudahan capaian Internet yang baik untuk kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian.

"Alhamdulillah, semua pelajar berada dalam keadaan sihat dan setakat ini tiada kes jangkitan Covid-19 membabitkan pelajar atau kakitangan. Aktiviti PdP juga berjalan dengan baik secara dalam talian menggunakan kemudahan Internet yang boleh dicapai terus dari bilik asrama," katanya.

Pada masa sama, katanya, UMS juga memastikan kafeteria beroperasi seperti biasa bagi membolehkan pelajar membeli makanan, selain kedai runcit di di kawasan kampus untuk pelajar membeli barangan keperluan masing-masing.

Menurutnya, UMS turut menyediakan kemudahan 'food bank' kepada pelajar melalui sumbangan UMS sendiri, kakitangan universiti, orang awam, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan serta swasta seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

"UMS juga menyediakan peruntukan khas bagi menanggung caj 'runner' atau e-hailing untuk pembelian barangan peribadi pelajar. Pengetua dan felo turut membantu membuat pembelian barang keperluan pelajar dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam hal berkaitan, Taufiq berkata, setakat ini kira-kira 60 peratus daripada kakitangan UMSKAL sudah menerima suntikan vaksin Covid-19, manakala pelajar dan kakitangan yang belum menerima suntikan dijangka dapat diberikan apabila UMSKAL dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Pengurusan UMSKAL juga sentiasa bersedia untuk membantu pihak berkuasa khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan menyediakan ruang yang selesa untuk dijadikan sebagai PPV di Wilayah Persekutuan Labuan.

"Perbincangan awal sudah dibuat dan pihak kami menunggu makluman lanjut daripada Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan. Sekiranya perbincangan itu dapat direalisasikan, sudah tentu semua pelajar dan kakitangan yang belum mendapat suntikan vaksin akan diberikan keutamaan," katanya.

Setakat ini, sebanyak 6,643 kes kumulatif positif Covid-19 direkodkan di pulau itu termasuk 152 kes baharu yang dilaporkan semalam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 2:31 PM