DR Alias semasa sidang media di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO GHAZALI KORI
DR Alias semasa sidang media di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) kini berada pada tahap lebih 75 peratus menyebabkan peralihan Terengganu ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ditangguhkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, penggunaan katil di ICU perlu berada pada tahap 50 peratus seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membolehkan peralihan ke fasa seterusnya.

Beliau berkata, tiada masalah daripada segi vaksinasi, tetapi berlaku masalah kes di hospital walaupun jumlah kes bagi pesakit kategori tiga, empat dan lima tidak tinggi ketika ini.

"Apabila (pesakit) masuk ke hospital, pesakit sekurang-kurangnya perlu berada selama dua minggu jika dirawat di wad biasa manakala 21 hari jika berada di ICU.

"Keadaan itu menyebabkan pengisian di wad tinggi walaupun jumlah harian kemasukan pesakit ke ICU adalah kecil. Apabila bercampur dengan pesakit sedia ada, ia menyebabkan penggunaan katil di wad semakin tinggi.

"Insya-Allah, jumlah penggunaan katil di ICU ini dijangka berkurangan dalam tempoh tiga minggu lagi," katanya ketika ditemui selepas Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Ketika ditanya bila Terengganu boleh beralih ke Fasa Tiga PPN, Dr Alias berkata, peralihan itu hanya boleh dilakukan apabila pesakit sama ada di wad biasa atau ICU berkurangan dan perkara itu akan dinilai semula kelak.

"Peralihan fasa ini tidak seperti isu vaksin, vaksin kita boleh agak kerana kita tahu jumlah bekalan vaksin yang ada, jumlah (individu) mahu diberikan suntikan dan berapa kapasiti sehari boleh diberikan.

"Namun (jumlah) orang sakit dan bila akan sembuh, kita tidak boleh agak cuma saya boleh menjangkakan dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu kita boleh kurangkan kes di ICU dan kes di wad Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 5:47 PM