GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) seluruh negara mencatatkan kadar melebihi 78.4 peratus, setakat semalam.

Berdasarkan infografik di laman sesawang https://covidnow.moh.gov.my yang baru dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), menunjukkan beberapa negeri masih mencatatkan kadar penggunaan katil di wad ICU melebihi 80 peratus.

Kedah menjadi negeri tertinggi apabila mencatatkan kadar penggunaan katil wad ICU sebanyak 111.6 peratus diikuti Pulau Pinang sebanyak 98.2 peratus, Perak (94), Johor (87.3), Selangor (82.6) dan Pahang (81.1).

Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, penggunaan katil di wad ICU yang masih tinggi disebabkan oleh backlog (tertunggak) iaitu kes lama yang belum sembuh.

Bagaimanapun, katanya, bilangan kemasukan ke wad ICU dijangka menurun dalam tempoh terdekat berikutan kadar vaksinasi yang bertambah ketika ini.

"Malangnya untuk kes tidak divaksin, belum lengkap atau tidak layak divaksin seperti kanak-kanak, maka ini boleh menjadi punca mereka berkemungkinan menjadi mangsa Covid-19 dan masuk ke ICU.

"Maka adalah sangat perlu untuk individu mendapatkan dan melengkapkan dos vaksinasi termasuk di kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun selepas ini," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Sharifa berkata, pesakit Kategori Dua dan Tiga juga seharusnya dipantau di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) bagi mengurangkan risiko lebih teruk.

Selain itu, beliau berkata, saringan awal Covid-19 akan dapat mengesan jangkitan dan pemerhatian boleh dilaksanakan sekali gus mengurangkan kemasukan pesakit ke wad ICU.

"Kanak-kanak berusia bawah 12 tahun juga disaran menjalani saringan sekiranya tidak sihat, bergejala atau sebelum dan semasa sesi persekolahan bagi mengekang penularan wabak," katanya.

Katanya, ini kerana belum ada vaksin kepada kanak-kanak walaupun syarikat pengeluar sudah bergerak ke arah itu.

Sementara itu, data dari laman sesawang sama menunjukkan Sabah mencatatkan kadar penggunaan katil di wad ICU mencecah 78.4 peratus, Terengganu (77), Melaka (75), Perlis (73.7), Sarawak (67.8), Kelantan (67.6) dan Kuala Lumpur (66.4).

Negeri Sembilan yang sudah beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pula menggunakan 57.3 peratus daripada jumlah keseluruhan fasiliti itu manakala Putrajaya menggunakan 38.5 peratus fasiliti berkenaan.

Negeri terakhir iaitu Labuan yang kini berada dalam Fasa 4 PPN mencatatkan hanya 8.7 peratus kadar penggunaan katil ICU.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 6:27 PM