Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 tahap lima di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Terengganu meningkat sejak dua minggu lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, sehingga kini, 28 katil atau 84 peratus daripada 33 katil ICU digunakan bagi merawat pesakit.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan berlaku peningkatan kes susulan kebenaran rentas negeri dan peralihan Terengganu daripada Fasa Tiga ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Di Terengganu, kita ada 25 katil ICU (sebelum ini), tetapi beberapa wad ditukarkan menjadi wad ICU dan menjadikan katil berjumlah 33 katil kerana situasi pandemik Covid-19.

"Ketika ini, 28 katil ICU digunakan dan sebab itu, kita risau dan buat persediaan awal sekiranya berlaku peningkatan luar jangka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Wad ICU Hybrid di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.

Dr Kasemani berkata, penyerahan wad ICU berkapasiti 10 katil itu sememangnya membantu pihaknya menampung kemasukan pesakit di Terengganu.

Beliau berkata, wad berkenaan akan mula digunakan minggu depan dan penyerahan itu menjadikan terdapat 43 katil ICU di seluruh Terengganu.

Menurutnya, pihaknya percaya 43 katil itu mencukupi kerana sepanjang dua tahun berdepan Covid-19, kita mampu menanganinya dengan baik.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 1:13 PM
    DR Kasemani (dua kanan) memeriksa mesin alat bantuan pernafasan pesakit Covid-19 pada Majlis Penyerahan Wad ICU Hybrid di HSNZ, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO GHAZALI KORI
    DR Kasemani (dua kanan) memeriksa mesin alat bantuan pernafasan pesakit Covid-19 pada Majlis Penyerahan Wad ICU Hybrid di HSNZ, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO GHAZALI KORI