GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Negeri Sembilan berpeluang beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh terdekat andai kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan jumlah kemasukan pesakit di hospital awam terus menunjukkan penurunan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya yakin perubahan itu akan dicapai berdasarkan kadar vaksinasi dalam kalangan rakyat dewasa di negeri itu yang positif setakat ini.

"Jumlah rakyat dewasa negeri ini yang sudah menerima suntikan vaksin dos pertama mencapai 97.2 peratus manakala yang menerima kedua-dua dos mencapai 80.9 peratus.

"Ini adalah satu imuniti kelompok yang kita kejar sebelum ini dan jika mengambil kira kedudukan itu, kita sudah boleh beralih ke Fasa Empat PPN.

"Namun kita masih bergantung kepada beberapa perkara lagi seperti kadar penggunaan katil di ICU dan jumlah pesakit covid-19 yang masuk ke wad," katanya selepas menghadiri Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di sini, semalam.

Aminuddin bagaimanapun melahirkan keyakinan bahawa sasaran itu boleh dicapai dalam tempoh terdekat dan pihaknya akan berusaha untuk pastikan berlaku penurunan kadar penggunaan katil ICU serta bilangan pesakit covid-19 di wad.

"InsyaAllah, dengan kerjasama rakyat Negeri Sembilan, kita mampu beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara dalam tempoh terdekat," katanya.

Mengulas mengenai peralihan ke Fasa Tiga PPN mulai hari ini, beliau berkata ia sesuatu yang sangat ditunggu rakyat Negeri Sembilan.

Beliau berkata, ia adalah hasil sokongan semua pihak dan komitmen tinggi petugas barisan hadapan dalam usaha mengekang penularan wabak covid-19.

"Ini suatu berita yang baik dan ditunggu-tunggu kerana berlaku dalam tempoh yang cepat apabila peralihan ke Fasa Dua baru bermula 26 Ogos lalu namun 4 September sudah beralih ke Fasa Tiga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 5:44 PM