KEDAH belum dapat beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berikutan penggunaan katil di wad ICU yang menempatkan pesakit Covid-19 masih melebihi 100 peratus. FOTO Arkib NSTP
KEDAH belum dapat beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berikutan penggunaan katil di wad ICU yang menempatkan pesakit Covid-19 masih melebihi 100 peratus. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kedah belum dapat beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berikutan penggunaan katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) yang menempatkan pesakit Covid-19 masih melebihi 100 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, ia kerana kebanyakan pesakit Covid-19 di ICU mengambil masa tiga minggu hingga sebulan untuk sembuh.

"Mereka lambat sembuh, sebab itu penggunaan katil di ICU kita sentiasa tinggi, saya difahamkan Ahad ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan datang ke Kedah untuk berbincang mengenai keadaan katil ICU di semua hospital kerajaan.

"Antara perbincangan itu nanti adalah mencari kaedah yang sesuai sama ada menambah bilangan katil di ICU atau ada kaedah lain bagi membantu Kedah dapat ke Fasa Dua PPN," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, jumlah penduduk di Kedah yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin sudah melebihi 50 peratus manakala individu yang menerima suntikan satu dos vaksin pula melebihi 80 peratus.

Sementara itu Dr Mohd Hayati turut memaklumkan beliau sudah pulih daripada Covid-19 selepas disahkan positif pada 26 Ogos lalu.

Katanya, beliau disahkan sembuh daripada virus itu pada Rabu minggu lalu selepas berada pada kategori dua iaitu demam dan batuk.

"Saya hanya dipantau di rumah selepas menunjukkan gejala pada 22 Ogos lalu, pada mulanya memang saya tidak berselera makan selain demam dan batuk.

"Alhamdulillah ujian saringan Covid-19, pada Rabu lalu di Pusat Kesihatan Daerah Pendang menunjukkan saya negatif dan sudah memotong gelang merah jambu.

"Suntikan dua dos vaksin dapat membantu mengurangkan risiko berlakunya jangkitan yang lebih serius," katanya.

Justeru, beliau yang juga seorang doktor perubatan menasihatkan orang ramai mengambil suntikan vaksin bagi mengurangkan gejala serius sekiranya dijangkiti Covid-19.

Katanya, beliau juga hadir untuk menjalani ujian saringan Covid-19 di Wisma Darul Aman hari ini sebagai persediaan hadir ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 1:32 PM