APMM Johor menahan tiga vesel kerana bersauh secara haram di perairan Johor Timur, Kota Tinggi. FOTO ihsan APMM JOHOR
APMM Johor menahan tiga vesel kerana bersauh secara haram di perairan Johor Timur, Kota Tinggi. FOTO ihsan APMM JOHOR
Nurul Amanina Suhaini


Kota Tinggi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor menahan tiga vesel kerana bersauh secara haram di perairan Johor Timur, semalam.

Pengarah APMM Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, ketiga-tiga vesel ditahan susulan nakhoda didapati gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

Menurutnya, dua vesel pertama iaitu bot tunda bersama sebuah tongkang yang berdaftar di Kuching, Sarawak ditahan bot ronda APMM pada kedudukan 11 batu nautika timur Tanjung Penawar di sini, pada 10.30 pagi.

"Bot itu dikendalikan sembilan kru termasuk nakhoda warga Indonesia berusia antara 27 hingga 45 tahun.

"Ketika diperiksa, nakhodanya gagal mengemukakan sebarang dokumen pemakluman ketibaan kepada Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Bagi penahanan kedua pula membabitkan sebuah kapal tangki berdaftar di Malabo, Equatorial Guinea yang dikendalikan lapan kru termasuk nakhoda warga Indonesia berusia antara 22 hingga 54 tahun.

"Kapal tangki yang ditahan kapal ronda APMM itu berada pada kedudukan 12.5 batu nautika Timur Laut Tanjung Siang, pada 2.25 petang," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, kesemua vesel yang ditahan disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952, Seksyen 491B(1)(L) yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Katanya, bagi kesalahan gagal melaporkan ketibaan kepada Pengarah Laut Malaysia pula disiasat mengikut Seksyen 449 OPS 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000.

"Pengusaha atau pemilik kapal dinasihatkan supaya memohon kebenaran bersauh dari Jabatan Laut Malaysia atau segera beredar dari lokasi kerana tindakan lebih tegas akan diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 3:32 PM