BOT tunda dari Singapura ditahan kerana gagal pamer insuran dan kebenaran bersauh di perairan Johor Timur. FOTO ihsan MARITIM MALAYSIA
BOT tunda dari Singapura ditahan kerana gagal pamer insuran dan kebenaran bersauh di perairan Johor Timur. FOTO ihsan MARITIM MALAYSIA
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Akibat gagal mempamerkan insuran dan dokumen kebenaran bersauh, bot tunda dari Singapura ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor di perairan Johor Timur, di sini, pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bot tunda itu ditahan dalam operasi dilakukan di kedudukan 5.5 batu nautika timur Tanjung Penawar pada 8.45 pagi.

Katanya, bot tunda itu dikendalikan enam kru warga Indonesia berusia antara 20 hingga 50 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Pemeriksaan lanjut terhadap dokumen bot mendapati nakhoda telah gagal mempamerkan insuran dan juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.

"Setiap kapal perlu mempunyai insurans wajib dan sentiasa dipamerkan di atas kapal sewaktu pemeriksaan.

"Nakhoda serta ketua jurutera bot dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 untuk kesalahan bersauh tanpa kebenaran. Dan Seksyen 361(6) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 untuk kesalahan gagal mempamerkan dokumen berkaitan polisi insuran maritim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 1:30 PM