Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Sebanyak 32 ekor anak penyu yang sedang menuju ke arah jalan raya berjaya diselamatkan orang awam untuk dilepaskan semula ke laut di Pantai Saujana di Batu 4 di sini, semalam.

Menurut Jezzrel Pereira, 27, dia bersama empat rakannya selalu berjalan ke tepi pantai sebaik selesai kerjanya sebagai chef di sebuah hotel.

"Kami biasanya memang suka berjalan ke kawasan pantai sehingga awal pagi tetapi tak sangka pula jumpa anak penyu menuju menuju ke arah jalan raya.

"Ketika itu air laut sedang surut dan kemungkinan anak penyu itu mengikut bunyi kereta dan sebab itu ia bergerak ke arah jalan raya tidak jauh daripada pantai," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dia dan rakan-rakan terus mencari dan mengumpulkan anak penyu itu untuk dilepaskan ke laut dan tidak berhasrat membawa ia balik ke rumah.

"Saya menghubungi beberapa agensi untuk membantu melepaskan semula anak-anak penyu ke laut dan akhirnya kami dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Port Dickson.

"Bagi saya, sepatutnya pihak berkaitan lebih tahu tempat atau lokasi penyu bertelur dan ia perlu diawasi agar tidak berlaku lagi kes seperti ini yang mana anak penyu naik ke darat," katanya.

ANTARA anak penyu yang dapat ditemui dan dilepaskan kembali ke laut oleh sekumpulan pemuda di Pantai Saujana, Batu 4, Port Dickson. FOTO ihsan Awam
ANTARA anak penyu yang dapat ditemui dan dilepaskan kembali ke laut oleh sekumpulan pemuda di Pantai Saujana, Batu 4, Port Dickson. FOTO ihsan Awam

Sementara itu, Pegawai APM Port Dickson Kapten (PA) Mohamad Azri Abu Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam yang menjumpai anak penyu di Pantai Saujana pada 2.45 pagi semalam.

"Anggota APM sampai di lokasi dan mendapati benar ada orang awam sedang mengumpulkan anak-anak penyu yang naik ke darat berkemungkinan ia sesat kerana ketika itu air laut sedang surut.

"Semua 32 anak-anak penyu itu sudah dilepaskan ke laut oleh mereka dengan diawasi anggota kami yang bertugas awal pagi semalam.

"Pihak kami menghargai peranan mereka yang menjumpai dan berusaha mengumpulkan semua anak-anak penyu yang mungkin sesat dan boleh mati jika dibiarkan terus naik ke darat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 1:36 PM