Antara anak penyu yang dapat ditemui dan dilepaskan kembali ke laut oleh sekumpulan pemuda di Pantai Saujana, Batu 4, Port Dickson. FOTRO IHSAN PEMBACA
Antara anak penyu yang dapat ditemui dan dilepaskan kembali ke laut oleh sekumpulan pemuda di Pantai Saujana, Batu 4, Port Dickson. FOTRO IHSAN PEMBACA
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Chef hotel dan rakannya mendapat pujian Jabatan Perikanan Negeri Sembilan selepas menyelamatkan 32 anak penyu yang tersesat di Batu 4 di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan Halimi Abu Hanip berkata, tindakan yang dilakukan anak muda itu amat baik dan wajar dicontohi jika orang ramai berdepan situasi sama di sekitar pantai di sini atau di mana saja.

"Ketika itu air laut dalam keadaan surut dan anak-anak penyu mencari arah ke laut berdasarkan bunyi tetapi ada yang tersesat jauh ke darat sehingga ke laluan pejalan kaki, mungkin kerana mengikut bunyi kenderaan yang lalu di situ.

"Nasib baik ketika itu, pemuda terbabit dan empat rakannya ternampak anak penyu itu seperti bergerak ke arah jalan raya yang berhampiran pantai.

"Atas rasa tanggungjawab sosial yang tinggi dan disebabkan bimbang keselamatan anak-anak penyu itu, pemuda terbabit bersama rakan-rakannya bertindak segera mengutip anak penyu berkenaan dan melepaskannya ke laut," katanya.

Dalam kejadian pada 2 pagi itu, Jezzrel Pereira yang juga seorang chef di hotel berhampiran lokasi bersama rakannya menemukan anak penyu itu sedang berkeliaran sebelum mengutipnya dan melepaskannya ke laut.

Menurut Halimi, kejadian itu dilaporkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum diajukan kepada Jabatan Perikanan Negeri Sembilan.

"Pasukan kami dari Pusat Ikan Hiasan Port Dickson bersama anggota APM bergegas ke tempat kejadian untuk mencari baki anak penyu yang ada.

"Kami berjaya menemui seekor lagi anak penyu yang masih hidup untuk diselamatkan dan mendapatinya adalah daripada spesies penyu karah," katanya.

Beliau berkata, ia adalah kes kedua penemuan anak penyu menetas oleh orang awam di pantai di sini, pada tahun ini dan kejadian pertama berlaku di pantai sekitar Bagan Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 6:12 PM