BEBERAPA ekor penyu sedang dilepaskan ke laut oleh petugas Pusat Ikan Hiasan (PIH) Port Dickson di Pantai Purnama, Port Dickson. FOTO Ihsan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan
BEBERAPA ekor penyu sedang dilepaskan ke laut oleh petugas Pusat Ikan Hiasan (PIH) Port Dickson di Pantai Purnama, Port Dickson. FOTO Ihsan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Selain pantai Rantau Abang di Terengganu, orang ramai kini turut boleh menyaksikan penyu mendarat dan bertelur di pantai peranginan di sini.

Difahamkan haiwan ini semakin kerap dilihat naik bertelur antara bulan April hingga Oktober setiap tahun sekaligus menjadi tarikan pelancongan terbaru di sini.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, Pusat Ikan Hiasan (PIH) Port Dickson kini aktif menjalankan usaha konservasi penyu dengan mengeram dan menetaskan telurnya yang dapat dikutip di sepanjang pantai Port Dickson.

Menurutnya, anak-anak penyu akan dijaga selama beberapa bulan sebelum dilepaskan semula ke habitat asalnya.

"Biasanya penyu dewasa akan kembali ke sini untuk bertelur.

"Baru-baru ini, 10 ekor anak penyu agar dan 40 ekor penyu karah yang dilahirkan di PIH Port Dickson sudah selamat dilepaskan di Pantai Purnama di sini.

"Orang ramai yang mengunjungi pantai diharapkan dapat sama-sama memulihara reptilia terancam ini dengan tidak mengganggu haiwan ini ketika ia naik bertelur atau mengusik telurnya," katanya.

Halimi berkata, pihaknya juga berharap orang ramai segera melaporkan kepada pihak Jabatan Perikanan Negeri Sembilan sekiranya ternampak kelibat penyu terdampar atau anak-anak penyu yang muncul di pantai-pantai ini dalam keadaan tidak sihat.

"Setakat ini sudah lima ekor penyu mati akibat pelbagai masalah. Jika boleh pihak kami mahu merawat penyu ini dahulu sebelum dilepaskan ke laut.

"Kami percaya suatu hari nanti Port Dickson akan memiliki tarikan baharu pelancong apabila penyu semakin kerap naik dan bertelur di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 8:04 PM