Mohd Khidir Zakaria


Image

Port Dickson: "Saya akan tumpukan kempen secara bersemuka dengan pengundi di seluruh Port Dickson," kata calon Bebas di kerusi Parlimen Port Dickson, Abdul Rani Kulup Abdullah.

Beliau mengenakan pakaian busana pendekar, bertanjak dan bertongkat datang bersama, isteri, anak dan pengikutnya.

"Bagaimanapun, kemungkinan saya akan mengadakan ceramah umum untuk menerangkan hala tuju jika terpilih sebagai Ahli Parlimen Port Dickson di tempat ramai orang tetapi lokasi belum pasti lagi,

"Saya mahu membawa masalah rakyat khususnya veteran tentera yang ramai di Port Dickson sempena tempat ini yang dikenali sebagai Bandar Tentera Darat," katanya.

Menurutnya, berilah dia peluang berbakti kerana sudah 22 tahun berkhidmat bersama badan bukan kerajaan (NGO).

Abdul Rani bergambar dengan penyokongnya selepas penamaan calon di Kompleks Pentadbiran Tanah Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Abdul Rani bergambar dengan penyokongnya selepas penamaan calon di Kompleks Pentadbiran Tanah Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA

"Saya pasti mampu berkhidmat dengan baik kerana hasrat saya adalah berkhidmat kepada masyarakat dan memperjuangkan nasib veteran tentera.

Slogan 'Kipidap, Dongibab' akan terus digunakan untuk memberi semangat kepada pengikut saya ketika kami berkempen, " ujarnya.

Abdul Rani berkata, dia akan berkempen di seluruh kawasan termasuk lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Port Dickson ini.

"Campaklah saya di Parlimen kerana saya mahu memberikan khidmat memperjuangkan nasib rakyat.

"Saya akan berjumpa seramai mungkin pengundi dan harap mendapat pilihan pengundi yang faham tujuan saya menjadi calon PRU-15 Parlimen Port Dickson," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 2:00 PM