Masjid Putra, Putrajaya. FOTO arkib NSTP
Masjid Putra, Putrajaya. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pengurusan Masjid Putra, Putrajaya nafi memberikan layanan 'dua darjat' kepada jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat, semalam.

Menurut kenyataan hari ini, kehadiran jemaah di Masjid Putra sama ada solat fardu lima waktu atau solat Jumaat adalah mematuhi garis panduan dan ketetapan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

"Bagi solat Jumaat, kapasiti jemaah di masjid ini ditetapkan seramai 300 orang.

"Daripada jumlah ini, pihak pengurusan masjid memperuntukkan sejumlah kuota untuk jemaah tetap yang mendaftar lebih awal dan memaklumkan jangkaan waktu ketibaan di masjid bagi memudahkan kita memastikan jumlah kehadiran adalah bertepatan dengan kuota ditetapkan," kata kenyataan itu yang dikongsi di Facebook rasmi masjid berkenaan.

Bagaimanapun, pihaknya tidak dapat menafikan, saban minggu Masjid Putra menerima kehadiran jemaah melebihi kapasiti ditetapkan sejak 11 pagi untuk menunaikan solat Jumaat.

"Apabila kapasiti jemaah mencukupi, pengurusan masjid akan menutup pintu pagar utama menyebabkan jemaah yang hadir kemudian tidak dapat memasuki masjid.

"Pihak masjid memaklumkan dan menasihatkan jemaah secara baik mengenai perkara ini," katanya.

Menurutnya, bagi memelihara nama baik institusi masjid, pihak pentadbiran akan berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan.

"Kami bersedia mempertingkatkan lagi kualiti pengurusan demi memastikan pelanggan setia kami gembira dan berpuas hati dengan khidmat yang diberi.

"Sebarang cadangan dan maklum balas boleh menghubungi terus pihak kami," katanya.

Sebelum ini, tular video berdurasi 57 saat mendakwa 'layanan dua darjat' apabila mendakwa golongan tertentu diberi keutamaan untuk menunaikan solat Jumaat berbanding jemaah yang datang awal untuk beratur.

Dalam video itu, sebahagian jemaah dilihat beratur sambil membawa sejadah dan apabila golongan tertentu datang dengan menaiki kenderaan besar, pintu pagar utama dibuka untuk mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 1:04 PM