Ezad Lazim
Ezad Lazim
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Ezad Lazim berharap masjid yang memiliki kapasiti besar di Selangor diberi kelonggaran untuk menambah bilangan jemaah ketika solat Jumaat selepas ini.

Ezad berkata, hasratnya untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA, hari ini tidak kesampaian apabila dia tidak dibenarkan masuk kerana masjid berkenaan sudah melebihi kuota 100 jemaah.

"Pada pendapat saya, maaf mungkin saya salah tapi untuk masjid yang mempunyai kapasiti yang sangat luas dan besar seperti Masjid Sultan Abdul Samad KLIA ini, saya rasa patut ditambah bilangan jemaah. "Banyak ruang-ruang kosong lagi sebenarnya. Maaf kalau pendapat ini kurang bernas, tapi sedikit kecewa apabila datang awal, beratur tunggu giliran tiba-tiba tidak boleh masuk," katanya dalam satu hantaran di Instagram, hari ini.

Ezad berkata, walaupun hampa apabila tidak dapat menunaikan solat Jumaat di masjid, namun dia percaya rezeki itu akan tiba buat semua umat Islam.

"Ada yang datang lambat daripada saya, tapi mereka dapat masuk. Nak kata mereka daftar rasanya semua 'walk in'.

"Bersangka baiklah. Insya-Allah ada rezeki buat kita semua untuk dapat solat Jumaat selepas ini. Ramai yang menanti untuk solat berjemaah kembali seperti biasa. Semoga dipermudahkan kesulitan kita bersama," katanya.

Terdahulu, kerajaan negeri Selangor membenarkan solat Jumaat dan solat fardhu dilakukan di semua masjid, surau dan musolla sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 bermula hari ini.

Menerusi surat pekeliling dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), kehadiran solat Jumaat boleh disertai 50 hingga 100 jemaah saja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 4:30 PM