GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Semua kuliah agama sama ada kuliah Subuh, Maghrib dan Dhuha termasuk kelas al-Quran di masjid, surau dan musalla di seluruh negeri ditangguhkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan, bermula esok sehingga 26 Januari.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, bagaimanapun, solat Jumaat dan fardu di masjid, surau dan musalla tetap diadakan, namun bilangan jemaah yang dibenarkan menunaikan solat dihadkan bergantung kepada kapasiti dengan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter.

Katanya, bagi masjid bandar, jajahan, dan mukim, jumlah maksimum jemaah yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan fardu hanya 50 orang pada setiap waktu dengan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter.

"Bagi surau, jemaah, jemaah dibenarkan menunaikan solat adalah maksimum 30 orang, manakala bagi musalla, hanya 10 jemaah sahaja tertakluk kepada kapasiti.

"Perkara ini mendapat perkenan daripada Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan solat Jumaat dan fardu mestilah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk memastikan hanya pegawai masjid (imam tua, imam muda, bilal, siak), ahli jawatankuasa masjid dan anak-anak mukim terpilih sahaja dibenarkan.

"Ahli jawatankuasa dan anak-anak mukim yang berumur 70 tahun ke atas tidak dibenarkan hadir dan jemaah yang hadir ke masjid perlu memakai pelitup muka serta merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran," katanya.

Mohamad Rizam berkata, pintu pagar masjid juga dibuka 20 minit sebelum azan dan imam perlu memastikan solat diselesaikan dalam tempoh 20 minit setelah azan dan pintu pagar ditutup sejurus selepas selesai doa dibacakan dan jemaah bersurai.

"Selain itu, kebenaran pelaksanaan solat fardu dan Jumaat tertakluk kepada kehadiran sekurang-kurangnya seorang anggota polis di setiap masjid selain mengambil semua langkah yang perlu agar hanya jemaah dijemput sahaja yang hadir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 11:17 PM