Mohd Nasaruddin Parzi


PKR mengadakan mesyuarat khas, hari ini susulan perkembangan politik semasa tanah air.

Mesyuarat dipengerusikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung di ibu pejabat parti itu, di Petaling Jaya.

Bagaimanapun, kelibat kumpulan pemimpin yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak kelihatan hadir.

Antara yang hadir, antaranya Pengerusi Majlis Penasihat PKR yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Datuk Johari Abdul; Pengerusi MPN Pahang, Fuziah Salleh; Pengerusi MPN Negeri Sembilan, Aminudin Harun.

Pengerusi MPN PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh serta Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut kelihatan, Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr Tan Yee Kew.

Johari ketika ditanya sama ada usul pemecatan pemimpin tertentu dijangka dibincangkan dalam mesyuarat hari ini, beliau menafikan hal itu.

“Hal itu tak berbangkit. Ini mesyuarat biasa. Nak bincang apa yang sedang jadi sekarang,” katanya sambil memaklumkan perkembangan yang berlaku sedikit mengecewakan banyak pihak termasuk pimpinan PKR.

Satu sidang media juga dijangka diadakan selepas tamat mesyuarat.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 1:10 PM