GAMBAR Hiasan. Tinjauan suasana proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). FOTO ASYRAF HAMZAH
GAMBAR Hiasan. Tinjauan suasana proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). FOTO ASYRAF HAMZAH
BERNAMA

Labuan: Sebanyak 100 peratus populasi dewasa di Labuan sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 pada Selasa, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan Rithuan Ismail.

Beliau berkata populasi dewasa dalam kalangan imigran di pulau ini juga sudah divaksin sekali gus merekodkan 100.5 peratus dewasa yang sudah diimunisasi.

Rithuan yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Labuan berkata pasukan itu telah menyenaraikan 68,500 dewasa yang layak untuk program imunisasi di Labuan.

"Bilangan dewasa yang layak diberi vaksin telah melebihi sasaran berikutan dasar CITF Labuan yang memberi suntikan vaksin kepada semua tanpa mengira kewarganegaraan. Kami juga menawarkan vaksin kepada pekerja (dari luar Labuan) dalam sektor perkapalan serta minyak dan gas Labuan," katanya.

Beliau berkata ribuan pelarian Filipina di dua Skim Penempatan Masyarakat Pelarian (SPMP) juga mendapat vaksinasi sebagai sebahagian daripada usaha pasukan itu mengurangkan penyebaran jangkitan Covid-19 dalam masyarakat tempatan.

"Kita boleh lihat bilangan dewasa yang lengkap vaksinasi akan terus meningkat apabila jumlah orang yang menerima dos pertama mencapai 102.94 peratus setakat semalam.

"Lebih ramai orang yang divaksin lebih baik kerana kita dapat mengawal penularan Covid-19...kerana dasar kami adalah menggalakkan kru perkapalan dan mereka yang berada dalam sektor minyak dan gas mendapatkan suntikan. Bilangan orang yang melengkapkan vaksin pasti akan melebihi sasaran kita," katanya.

Rithuan berkata CITF Labuan bersedia untuk mengadakan program vaksinasi untuk remaja berusia 16 dan 17 tahun.

Labuan sudah lengkap memvaksin 80 peratus populasi dewasa pada 27 Julai lalu dan menjadi yang pertama dalam kalangan Wilayah Persekutuan dan negeri di Malaysia yang mencapai imuniti terhadap Covid-19. Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Labuan dilancarkan pada 27 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 6:36 PM