Petugas perubatan memberikan suntikan vaksin Covid-19 dos penggalak kepada penerima. FOTO DANIAL SAAD
Petugas perubatan memberikan suntikan vaksin Covid-19 dos penggalak kepada penerima. FOTO DANIAL SAAD
BERNAMA

Labuan: Waktu operasi pemberian suntikan dos penggalak di Labuan dilanjutkan sehingga 8 malam, berbanding 5 petang sebelum ini, dari Isnin hingga Jumaat, bermula 10 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata, lanjutan waktu operasi itu (8 pagi hingga 8 malam) bagi membantu mempercepat proses pemberian dos penggalak dan kemudahan jadual fleksibel kepada mereka yang bekerja.

"Kami telah memindahkan pusat pemberian vaksin penggalak dari Klinik Kesihatan Membedai ke Kompleks Darul Kifayah pada 29 Disember (tahun lalu), susulan peningkatan jumlah mereka yang menerima janji temu untuk suntikan vaksin.

"Setelah melihat peningkatan jumlah itu, kami memutuskan untuk melanjutkan waktu operasi pada hari bekerja," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, pusat pemberian dos penggalak di Darul Kifayah juga dibuka pada Sabtu bermula 8 pagi hingga 4 petang.

Dr Ismuni berkata, sejumlah 22,936 golongan dewasa telah menerima suntikan dos penggalak daripada jumlah keseluruhan 72,000 orang dewasa yang layak menerima suntikan dos penggalak setakat 11 Januari.

Katanya, purata yang mengunjungi pusat pemberian vaksin adalah sekitar 800 hingga 1,000 orang setiap hari.

Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Rithuan Ismail berkata, pemberian dos penggalak akan dipercepatkan berikutan kemunculan varian baharu Omicron di pulau itu.

"Kami menggesa mereka yang telah lengkap suntikan dos kedua dan sudah cukup tempoh enam bulan selepas suntikan kedua, untuk ke pusat vaksinasi bagi mendapatkan dos penggalak," katanya.

Labuan mencatatkan aliran kes Covid-19 tidak menentu sejak minggu pertama bulan ini dengan kluster baharu di Jalan OKK Awang Besar Saudi, dicetuskan oleh seorang jemaah umrah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 2:21 PM