Asrol Awang

Kuantan: Kelicikan Geng Ahai yang dipercayai melakukan kegiatan pecah masuk kedai berakhir apabila tiga anggotanya ditahan di dua lokasi pada 1 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, ketiga-tiga suspek berusia 39 hingga 51 tahun itu ditahan di Air Putih dan Kampung Tengah, di sini.

Menurutnya, tangkapan itu dilakukan selepas pihak polis menerima laporan kejadian pecah kedai aksesori kereta di Air Putih.

"Pemilik premis membuat pemeriksaan mendapati peralatan elektronik, unit kawalan elektronik (ECU) kereta dan pelbagai spanar RM50,000 hilang lalu membuat laporan polis.

"Bertindak atas maklumat risikan, polis berjaya menahan tiga suspek terbabit dan merampas peralatan pecah rumah, pelbagai peralatan elektronik selain ECU serta spanar.

"Polis turut merampas sebuah kereta milik seorang suspek yang disyaki dicuri di Johor," katanya pada sidang media di Stor Barang Kes Bandar Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Noor Yusof Ali menunjukkan barangan yang dirampas daripada Geng Ahai di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Noor Yusof Ali menunjukkan barangan yang dirampas daripada Geng Ahai di Kuantan. FOTO Asrol Awang

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek berasal dari Kuantan itu mempunyai rekod jenayah termasuk kes dadah.

Katanya, mereka direman sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanan Keseksaan.

"Dengan penahanan tiga lelaki ini, polis berjaya menyelesaikan empat kes pecah kedai di daerah Kuantan dan mencuri kereta di Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 6:20 PM