Amin Ridzuan Ishak


MENGGUNAKAN kereta mewah untuk mengaburi mata orang ramai sebelum memecah masuk rumah dan mengambil barang bernilai.

Itu taktik digunakan empat penjenayah terdiri daripada tiga lelaki serta seorang wanita di beberapa lokasi di negeri ini termasuk terbaharu membabitkan tiga rumah di Kuantan, Jumaat lalu yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM150,000.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian terbaharu itu berlaku di Seri Teruntum, Lorong Alor Akar dan Jalan Tok Gajah Off Jalan Tengku Muhamad bermula 12 tengah hari sehingga 5 petang.

“Kerugian dianggarkan sekitar RM150,000 dalam tempoh lima jam itu sahaja, penjenayah melarikan wang tunai, beg tangan, jam tangan, telefon bimbit, komputer riba dan sebuah kereta jenis Mazda Cx-5 berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran CDM 6699.

“Mereka menggunakan Toyota Estima berwarna hitam dan berpura-pura menghubungi pemilik rumah bagi mengaburi mata orang ramai sebelum memecah masuk,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, malam tadi.

Mohamad Noor berkata, kamera litar tertutup (CCTV) merakam kelibat tiga lelaki dianggarkan berusia di antara 20 hingga 35 tahun dan dipercayai turut disertai wanita yang tidak kelihatan pada rakaman berkenaan.

MOHAMAD Noor ketika sidang media berikutan kes pecah rumah yang membabitkan beberapa buah premis di sekitar Kuantan di Ibu Pejabat Polis Daerah, (IPD) Kuantan. -Foto FARIZUL HAFIZ AWANG
MOHAMAD Noor ketika sidang media berikutan kes pecah rumah yang membabitkan beberapa buah premis di sekitar Kuantan di Ibu Pejabat Polis Daerah, (IPD) Kuantan. -Foto FARIZUL HAFIZ AWANG

“Seorang daripada lelaki berbadan gempal, berkulit cerah, berketinggian sekitar 1.6 meter, berambut lurus serta berjanggut manakala dua lagi adalah lelaki kurus yang seorang daripadanya bermisai dan berjanggut.

“Siasatan awal mendapati mereka dipercayai pernah melakukan jenayah sama di Rompin serta di luar Pahang. Mereka juga pernah ditangkap,” katanya.

Mohammad Noor berkata, pihaknya percaya kumpulan penjenayah berkenaan melakukan perancangan teliti dengan menggunakan pendaftaran kenderaan palsu yang didaftarkan atas jenis kereta Toyota Estima.

“Dalam kejadian terbaharu ini, mereka menggunakan nombor pendaftaran bernombor W6097R dan semakan kita mendapati pemiliknya sebenarnya turut menggunakan kereta Toyota Estima... kita percaya modus operandi sama turut digunakan sebelum ini.

“Kita sedang mengesan kereta dan suspek terbabit bagi menyelesaikan siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 8:33 AM