Asrol Awang

Kuantan: Polis berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok selepas menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Gambang Jaya, di sini, pada 27 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, suspek berusia 33 tahun ditahan sepasukan anggota polis pada 11.30 pagi berdasarkan maklumat.

Katanya, dalam serbuan itu polis menemukan lima telefon bimbit pelbagai jenama, komputer riba, satu pasport Malaysia dan satu beg galas berisi wang tunai RM24,000.

"Hasil soal siasat, suspek membawa polis ke sebuah rumah lain di Gambang Makmur dan pemeriksaan lanjut menemukan 124 kotak rokok disyaki rokok seludup dianggarkan bernilai RM300,000.

"Siasatan mendapat suspek disyaki bertindak sebagai penjaga stor dan akan mengeluarkan bekalan rokok kepada ejen untuk dijual.

"Kesemua bekalan rokok yang dirampas itu disyaki baru untuk mencuba pasaran di daerah Kuantan," katanya pada sidang media di Stor Barang Kes Bandar Indera Mahkota, di sini, hari ini.

MOHAMAD Noor Yusof (tengah) menunjukkan rokok seludup, wang tunai dan telefon bimbit yang dirampas di Kuantan. FOTO Asrol Awang
MOHAMAD Noor Yusof (tengah) menunjukkan rokok seludup, wang tunai dan telefon bimbit yang dirampas di Kuantan. FOTO Asrol Awang

Menurutnya, suspek direman sehingga 10 September ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih tinggi nilai atau 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Polis kini masih mengesan dalang utama sindiket penyeludupan rokok ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 5:47 PM