Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan segera terhadap penyebaran ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang diasaskan seorang wanita.

Presiden Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) Datuk Ismail Awang berkata, ajaran berkenaan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat Islam di negara ini yang berpandukan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Pihak berkuasa perlu menyiasat dan tampil dengan penjelasan supaya apa yang ditimbulkan wanita ini dapat dirungkaikan mengikut ajaran Islam dan ditentukan sama ada sesat atau sebaliknya.

"Cukup-cukuplah dengan pelbagai isu keruntuhan moral dan penghinaan terhadap agama yang berlaku kebelakangan ini. Permas berharap dengan pembentukan Kabinet baharu, isu-isu begini dapat ditangani sebaik mungkin," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Datuk Ismail Awang. FOTO  ZULFADHLI ZULKIFLI.
Datuk Ismail Awang. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI.

Terdahulu, Ismail hadir ke IPD Dang Wangi bagi membuat laporan polis berhubung PMYT kira-kira jam 3 petang.

Ismail berkata, pihaknya mengikuti rapat pendedahan Harian Metro mengenai ajaran menyeleweng yang dibawa Sittah Annur menerusi mimpinya.

"Permas menggesa Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri supaya proaktif dalam membanteras sebarang dakyah palsu sama ada daripada orang perseorangan atau kumpulan mengikut Enakmen Jenayah Syariah diperuntukkan di negeri masing-masing.

"Selaku pertubuhan berbaiah, Permas meminta ahli di seluruh negara untuk tampil memberikan maklumat kepada pihak berwajib sekiranya mendapati atau mengetahui maklumat mengenai PMYT ini," katanya.

Ismail (tengah) mengadakan sidang media selepas bersama beberapa NGO membuat laporan polis berkaitan isu ajaran PMYT di IPD Dang Wangi. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI.
Ismail (tengah) mengadakan sidang media selepas bersama beberapa NGO membuat laporan polis berkaitan isu ajaran PMYT di IPD Dang Wangi. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI.

Menurutnya, pihaknya juga akan menghantar memorandum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah meminta tindakan diambil terhadap wanita berkenaan.

"Akibat dari tindakan itu ramai anak-anak muda terpengaruh disebabkan itu Permas terpanggil dan memberi arahan kepada Permas setiap negeri supaya tampil ke hadapan bagi membuat laporan polis.

"Fahaman ini jelas sekali terpesong dan boleh mengancam keselamatan negara," katanya.

Wartawan menemubual Ismail selepas Permas tampil membuat laporan polis di IPD Dang Wangi. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI.
Wartawan menemubual Ismail selepas Permas tampil membuat laporan polis di IPD Dang Wangi. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 5:18 PM