Idris ketika sidang media selepas Program Semarak Merdeka Sumbangan Bakul Makanan, Daging Lembu dan Dapur It'am Merdeka Putrajaya 2021. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Idris ketika sidang media selepas Program Semarak Merdeka Sumbangan Bakul Makanan, Daging Lembu dan Dapur It'am Merdeka Putrajaya 2021. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Skuad Khas Harian Metro


Putrajaya: Semua pihak berkuasa agama tidak akan berkompromi dalam menangani sebarang ajaran sesat yang berisiko mengancam keselamatan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata, isu ajaran sesat memang sudah ada dalam seksyen tertentu untuk penyelidikan bagi menanganinya.

"Saya pasti perkara berkaitan ajaran sesat kita tidak kompromi.

"Kita kena selamatkan akidah orang. Pendekatan kita adalah untuk kita nak selamatkan mereka (pengikut ajaran sesat), kaunseling mereka.

"Berikan pendidikan kepada mereka. Kita sayang mereka, mungkin (yang terbabit) adalah saudara kita. Mungkin abang kita, adik kita. Pendekatan betul perlu dilakukan," katanya ketika ditemui pada Program Semarak Merdeka Sumbangan Bakul Makanan, Daging Lembu dan Dapur It'am Merdeka Putrajaya 2021 di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, di sini, hari ini.

Beliau mengulas doktrin fahaman ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) dibawa seorang wanita dan menarik ribuan pengikut termasuk pegawai kerajaan yang didedahkan akhbar ini secara bersiri sejak Ahad lalu.

Menggunakan gelaran Sittah Annur, wanita berusia 39 tahun itu mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan memimpin pasukannya bagi mencari Imam Mahdi untuk melawan musuh.

Individu berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook, YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai dakwaan dan ramalan pelik.

Selain bercerita mengenai peperangan itu, Sittah Annur turut mendakwa dirinya beryaqazah dengan malaikat dan bertemu secara jaga (sedar) dengan Nabi Muhammad SAW serta merangka pelan keluar bersama pengikutnya jika peperangan berlaku.

Sumber keselamatan sebelum ini mendedahkan kumpulan PMYT pimpinan wanita itu kini diikuti sehingga 3,000 pengikut.

PMYT dikesan sudah mewujudkan 22 kumpulan Telegram di seluruh negara dan pengikutnya kini kian bertambah saban hari.

Pengikutnya bukan sahaja terdiri daripada orang kebanyakan sebaliknya ada golongan profesional seperti doktor, jurutera, pensyarah dan guru.

Lebih membimbangkan ada pesara kerajaan dan anggota polis serta tentera juga menjadi anggota kumpulan itu yang dikhuatiri akan dimanipulasi untuk perkara berbahaya rentetan mereka ini terlatih kepada penggunaan senjata api.

Ditanya sama ada serbuan atau memanggil pengasas ajaran itu akan dibuat pihak berkuasa, Idris berkata, tindakan berkenaan akan dilakukan.

"Itu insya-Allah. Kalau perkara sebegini, nanti kita serahkan kepada pihak berkuasa. Kalau membabitkan negeri, pihak berkuasa agama akan ambil tindakan.

"Jika berlaku di Wilayah Persekutuan, kita akan bertindak. Bidang agama adalah kuasa kerajaan negeri masing-masing," katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Bersiap hadapi Perang Dunia Ketiga'
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 2:20 PM