ROZITA Jamaludin, 42, (kiri) menyuap bubur pada suaminya, Rosli Buang, 57, (kanan) yang terlantar akibat serangan angin ahmar di rumah mereka di Taman Desa Taming Sari, Sungai Udang. FOTO Khairunisah Lokman
ROZITA Jamaludin, 42, (kiri) menyuap bubur pada suaminya, Rosli Buang, 57, (kanan) yang terlantar akibat serangan angin ahmar di rumah mereka di Taman Desa Taming Sari, Sungai Udang. FOTO Khairunisah Lokman
Zairee Mohd Yasak


BIARPUN kesihatannya sendiri tidak menentu Rozitah Jamaludin, 42, tidak pernah mengeluh atau berasa terbeban menjaga suaminya Rosli Buang, 57, yang kini terlantar akibat diserang angin ahmar sejak lapan tahun lalu.

Rozitah yang disahkan menghidap kencing manis, buah pinggang dan masalah jantung, terus diuji kerana dia juga perlu memberikan perhatian kepada tiga anak yang turut mengalami masalah kesihatan.

Wanita itu memberitahu, anak perempuannya berusia 22 tahun yang sudah berkahwin, menghidap asma dan ketumbuhan pada rahim, anak kedua lelaki 16 tahun pula menghidap asma.

Manakala anak bongsu perempuannya berusia 14 tahun disahkan sebagai penghidap kencing manis ketika berusia 11 tahun dan mengalami masalah asma.

Dia yang bekerja sebagai pembantu kedai dengan pendapatan RM780 sebulan berkata, semua masalah dihadapi dianggap sebagai satu dugaan dan akan terus menjaga semua ahli keluarganya selagi terdaya.

Katanya yang kini menumpang di rumah menantunya, meskipun pendapatan bulanannya tidak seberapa dia tetap berusaha memastikan keperluan untuk suami dan dua anak mereka yang masih bersekolah tidak terabai.

Menurutnya, Rosli diserang angin ahmar ketika mereka tinggal di Hulu Selangor, Selangor dan dia mengambil keputusan berpindah ke Melaka dua tahun kemudian selepas perkara itu dicadangkan oleh adik iparnya.

"Kata adik ipar jika tinggal di Melaka urusan menjaga suami menjadi lebih mudah selain berada dekat dengan saudara-mara lain. Sekarang ini tahap kesihatan suami tidak menentu, dia kerap demam hingga terpaksa dirujuk ke Hospital Melaka.

"Apa yang amat merisaukan saya sekarang adalah tahap kesihatan anak bongsu Fazeen Sofea yang kerap pengsan di sekolah akibat asma kerana saluran pernafasannya sempit," katanya.

Ibu malang itu berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron, di rumah menantunya di Taman Desa Taming Sari, Sungai Udang, hari ini, bersempena Program Ziarah Kasih, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang.

Selain mengharapkan upah sebagai pembantu kedai, Rozitah bersyukur kerana suaminya menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan makanan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 5:44 PM