POLIS menahan 17 individu termasuk nenek dua cucu dan remaja sekolah yang hadir parti liar. FOTO ihsan PDRM
POLIS menahan 17 individu termasuk nenek dua cucu dan remaja sekolah yang hadir parti liar. FOTO ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Remaja sekolah dan nenek kepada dua cucu antara 17 individu ditahan pada parti liar menyambut hari lahir seorang wanita di sebuah residensi mewah di Jalan Sultan Ismail di sini, jam 11.55 malam semalam.

Serbuan dijalankan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur hasil maklumat awam serta risikan dan kesemua yang ditahan membabitkan lapan lelaki serta sembilan wanita berusia 13 hingga 54 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, pemeriksaan turut menemui pil Ekstasi seberat 10.73 gram (gm) bernilai RM464 dan ketamin seberat 2.88gm bernilai RM400.

Menurutnya, turut dirampas kunci dan kad akses premis, seunit pembesar suara dan seunit lampu laser.

"Ujian saringan air kencing mendapati empat lelaki dan empat wanita disahkan positif Methamphetamine dan ketamin.

"Siasatan awal mendapati, penganjur parti liar itu adalah wanita berusia 23 tahun dan ia dianjurkan untuk menyambut ulang tahun kelahirannya," katanya pada kenyataan hari ini.

Sahar berkata, antara pengunjung adalah pelajar lelaki berusia 13 tahun yang mengikut abangnya menyertai parti itu.

"Selain itu, seorang daripada pengunjung ialah wanita kepada dua cucu berusia 54 tahun. Premis itu disewa pada kadar RM350 sehari dan tiada bayaran dikenakan kepada pengunjung," katanya.

Beliau berkata, setiap pengunjung turut dikompaun RM2,000 mengikut Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) (Pelan Pemulihan Negara) (No. 2) 2021.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Katanya, pemilik kediaman dan penganjur juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13(a) ADB 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 6:39 PM