FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Seramai 22 individu termasuk empat wanita ditahan polis ketika berhibur dalam parti persendirian di sebuah rumah inap desa di Taman Pura Kencana, Sri Gading dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menyerbu sebuah rumah inap pada jam 1.30 pagi, dan mendapati 22 warga tempatan berada di dalam rumah itu.

"Hasil pemeriksaan di rumah teres dua tingkat berkenaan, ia dipercayai disewa bagi tempoh selama dua hari.

"Ketika serbuan, kesemua suspek sedang berkumpul dan berhibur sambil mendengar muzik serta dipercayai di bawah pengaruh dadah," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Ismail, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 23 tahun kemudian dibawa ke IPD Batu Pahat untuk ujian saringan air kencing.

"Hasil ujian saringan, 18 lelaki dan empat wanita positif dadah jenis ketamin dan kes siasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Kompaun juga dikeluarkan bawah peraturan 17(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kepada kesemua suspek," katanya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 11:57 AM