GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kelantan, Terengganu, Johor, timur Sabah dan barat Sarawak dijangka menerima taburan hujan lebih daripada paras purata antara November ini hingga Januari tahun hadapan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, empat hingga enam episod hujan lebat yang signifikan dan dijangka boleh mengakibatkan banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang sepanjang fasa peralihan Monsun Timur Laut bermula awal November ini hingga Mac tahun hadapan.

"Di Kelantan, Terengganu dan Pahang episod hujan lebat berlaku antara November hingga Disember.

"Pada Disember hingga Januari pula, hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak.

"Bagaimanapun, semasa luruan udara sejuk yang kuat ia juga boleh mempengaruhi keadaan cuaca negeri di pantai barat Semenanjung," katanya dalam kenyataan sempena Forum Iklim Kebangsaan: Monsun Timur Laut 2021/2022 yang diadakan secara maya hari ini.

Beliau berkata, jangkaan jumlah hujan tertinggi sepanjang tempoh monsun itu berlaku antara Disember hingga Januari 2022.

"Kelantan dan Terengganu dijangkakan menerima taburan hujan sedikit melebihi purata iaitu antara 450 milimeter (mm) hingga 1,000 mm pada November dan Disember.

"Pada Januari hingga Mac pula, semua negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dijangka menerima hujan pada paras purata kecuali di pedalaman dan barat Sarawak dan timur Sabah yang dijangka menerima hujan sedikit lebih daripada purata iaitu 350 mm hingga 950 mm pada Januari," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia, Lim Ze Hui ketika sesi forum itu berkata, taburan hujan yang sedikit lebih dari paras purata di negeri terbabit itu berpunca daripada fenomena La Nina lemah.

"Jika kita rujuk Monsun Timur Laut yang ekstrem pernah berlaku pada 2014 mengakibatkan banjir besar berlaku, pada pandangan saya monsun kali ini tidak akan seteruk apa yang dialami pada 2014.

"Kita tidak jangkakan sesuatu yang ekstrem (berlaku) monsun kali ini mungkin sama dengan apa yang kita lalui pada 2019 dan 2020.

"Perbandingan ini berdasarkan fenomena la nina lemah yang kita jangka (berlaku) dan negeri-negeri terima taburan hujan sedikit paras daripada paras normal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 4:57 PM